2 May 2009

Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din

Klik di sini untuk ke web Darussyifa'. Dapatkan koleksi ceramah kitab Minyatul Musolli, Fiqhul Manhaji dan lain-lain


Tuan Guru Dato' Dr. Haron bin Din dilahirkan pada hari Ahad, 18 Ogos 1940 bersamaan 14 Rajab 1359 (Tarikh Hijrah ini mengikut kiraan Komputer) di Bohor Mali, Kangar, Perlis. Berkahwin dengan seorang Isteri dan dianugerahkan Allah dua orang anak lelaki dan tiga perempuan. Beliau dibesarkan dikalangan keluarga yang kuat mengamalkan ajaran agama Islam. Ibu bapa beliau adalah guru al-Quran yang mengajar bacaan al-Quran kepada masyarakat setempat. Beliau adalah anak yang ketiga daripada 10 orang adik beradik.Mempunyai seorang abang dan kakak dan seorang adik lelaki menakala enam adik perempuan.Dua orang saudara lelaki beliau juga tokoh agama terkenal iaitu abang beliau Ustaz Ishak bin Din dan adik beliau Ustaz Abu Hassan bin Din. Ayahanda beliau dikenali sebagai sebagai Lebai Din, yang juga seorang perawat yang mengamalkan rawatan pengubatan Islam.
Lebai Din juga seorang guru silat yang mengamalkan Silat Gayung Petani, bagaimanapun ilmu silat ini tidak langsung diturunkan kepada anak-anaknya. Berkenaan ilmu pengubatan Islam, Lebai Din hanya menurunkan ilmunya kepada seorang anaknya sahaja iaitu kepada Ustaz Haron Din. Lebai Din hanya mengijazahkan ilmunya dan memberi buku catatan pengubatan kepada Ustaz Haron Din sahaja.


Ustaz Haron Din menerima pendidikan awal di tangan ayah dan ibunya sendiri. Kemudian dimasukkan ke Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali. Seterusnya ke Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor. Kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya (1962-1965). Di kolej ini beliau memperolehi Sijil Tertinggi Kolej dengan cermerlang kemudian telah memenangi hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat “Master Degree” di Universiti Al-Azhar, Cairo (1966-1968). Dalam masa tidak sampai dua tahun beliau telah berjaya memperolehi dua degree serentak iaitu M.A (Ijazah Sarjana) Syariah daripada Universiti Al-Azhar dan Diploma Pendidikan dari ‘Ain Shams, Universiti Cairo.


Setelah memperolehi Ijazah Sarjana Syariah, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama di Kementerian Pelajaran. Beberapa tahun kemudian beliau kembali semula ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah. Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cermerlang daripada Universiti Darul-Ulum Qahirah (1972-1974).
Pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Akademik adalah bidang kerjayanya. Kekeluargaan Islam adalah jurusannya. Sebagai satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademiknya, UKM menganugerahkan pangkat “Profesor” kepadanya sejak tahun 1986.

Dr. Juanda Jaya



Bekas Naib Mufti Sarawak, Dr Juanda Jaya, 37, akan dilantik sebagai Mufti Perlis yang baru, menggantikan Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang kontraknya ditamatkan pada akhir November lalu.

Pelantikan Dr Juanda yang juga bekas Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Sarawak, disahkan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, sekaligus merungkai spekulasi mengenai calon Mufti Perlis sejak jawatan itu dikosongkan dua bulan lalu. Malah, pelantikan beliau ke jawatan berkenaan juga sudah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Berdasarkan kontrak, Dr Juanda dipinjamkan kerajaan Sarawak untuk mengisi jawatan Mufti Perlis bagi tempoh dua tahun dan beliau dijangka memulakan tugas awal Februari ini, selepas urusan pemindahan selesai dengan kerajaan Sarawak dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Jawatan Mufti Perlis kosong apabila kontrak Dr Asri yang dipinjamkan Universiti Sains Malaysia (USM) kepada kerajaan negeri tamat tempoh pada 1 Disember lalu. Malah, Dr Asri sebelum berangkat ke England untuk membuat kajian berkaitan perbandingan mengenai tafsiran hadis antara fundamentalis dan orientalis di Lampetex, United Kingdom pernah menamakan beberapa calon, termasuk Dr Juanda yang dianggap sesuai sebagai pengganti beliau.
Dr Juanda dari keturunan Melanau adalah lepasan Kolej Islam Klang, lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir dan mempunyai Ijazah Sarjana Syariah dengan pengkhususan Penggubalan Undang-Undang Keluarga Islam Malaysia daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Md Isa berkata selain diperkenan Tuanku Raja Perlis, pemilihan Dr Juanda untuk mengisi kekosongan jawatan Mufti Perlis berdasarkan kelayakan peribadi, terutama akademiknya yang tinggi serta sumbangannya kepada agama Islam. Paling penting, beliau dianggap calon paling sesuai kerana begitu memahami mengenai Mazhab Sunnah Wal Jamaah yang selari dengan perlembagaan negeri.

Sekalung tahniah diucapkan kepada Dr Juanda Jaya yang bakal dilantik sebagai Mufti Perlis yang baru.

 

Subscribe to Badar KISAS

Contact us

Email us: badarkisas@gmail.com

Penaung