26 August 2009

Faisal Tehrani


FAISAL TEHRANI adalah nama pena kepada Mohd Faizal Musa. Beliau dilahirkan pada 7 Ogos 1974 di Hospital Kuala Lumpur. Pada usia 5 tahun beliau dibawa ibu-bapanya berpindah ke Melaka dan dibesarkan di kota bersejarah tersebut.

FAISAL TEHRANI mendapat pendidikan awal di Sekolah Sacred Heart Melaka, kemudian di Sekolah Rendah Jalan Dato Palembang dan memperolehi 5 A untuk peperiksaan Penilaian. Faisal kemudian menuntut di Sekolah Menengah Sultan Muhammad sehingga Tingkatan Tiga, lantaran keputusan SRP yang cemerlang, beliau ditawarkan belajar di Kolej Islam Kelang (Kolej Islam Sultan Alam Shah). Kisah-kisah awal remaja Faisal banyak disirikan di dalam majalah Fokus SPM.

Faisal seterusnya menuntut di Akademi Islam Nilam Puri Kelantan sebelum meneruskan pengajian sehingga memperolehi ijazah Sarjana Muda Syariah Politik dari Universiti Malaya.Tidak lama kemudian Faisal menjadi fellow di Universiti Sains Malaysia. Beliau meneruskan pengajian peringkat Sarjana (MA) dalam jurusan Kesusasteraan dan kini melanjutkan pelajaran dalam kedoktoran (PhD) pula di UKM.

Dalam bidang drama pentas Faisal menulis tiga buah drama setakat ini iaitu Rintih Chicago (memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97), drama Angin Madinah (memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran Yayasan Pelajaran Islam Malaysia dan DBP) serta drama MISI yang dikerjakan bersama pengarah muda terkenal Nam Ron. Dalam tahun 2002 dilaporkan beliau akan bekerjasama sekali lagi dengan Nam Ron di samping mementaskan sebuah drama yang diadaptasi dari sebuah novel sensasi karangan seorang Sasterawan Negara.Dalam genre novel, Faisal menulis antara lain novel Cinta Hari-hari Rusuhan (Creative Enterprise 2000) dan Perempuan Politikus Melayu (Penerbitan Pemuda 2000). Novel Perempuan Politikus Melayu mendapat pujian pengkritik sastera antara lain seperti Profesor Madya Amida Abdul Hamid, SM Zakir dan Dato Johan Jaafar dan dianggap sebuah novel yang berani. Novel Jendela Berlangsir Hujan disirikan dalam majalah EH! mendapat sambutan dan masih berlangsung mengenai persahabatan tiga gadis Latha Baskaran, Dang Asmara dan Chloe Robertson. Novel bersiri Dongeng Kingdom Of Flowers di majalah al-Wasilah bagaimanapun terbantut setelah majalah remaja tersebut diharamkan oleh kerajaan tanpa sebarang alasan. Faisal beruntung mendapat asuhan antara lain dari Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said, Sasterawan Negara Dato Shahnon Ahmad, pemenang SEA Write Award Zaharah Nawawi dan Sutung Umar RS dalam bidang puisi. SN Dato Shahnon malah mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga Faisal. Pada tahun 1999 Faisal bersama Mawar Shafie, Hizairi Othman, Jasni Matlani mewakili Malaysia ke Program Penataran Sastera anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara di Jakarta dan Bogor.

Cerpen pertama beliau tersiar pada tahun 1992 di majalah Muslimah dengan judul Anastasia. Faisal hanya disedari oleh khalayak sastera pada tahun 1994 apabila cerpen-cerpen beliau iaitu cerpen Anak dan cerpen Opah memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Public Bank 1994. Tahun yang sama beliau memenangi Hadiah Sastera Siswa DBP-Bank Rakyat menerusi cerpen Malam Ini Philadelphia Menangis, anugerah paling berprestij untuk penulis remaja waktu itu (kini sudah tiada).

Kejayaan ini diikuti pada tahun 1995 apabila beliau memenangi sekali Hadiah Sastera Utusan dengan cerpen Pemberontakan Kedua. Tahun 1996 Faisal dikurniai rezeki yang murah dengan memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Public Bank dengan cerpen Perempuan Anggerik dan cerpen Api KL Belum Terpadam, Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran BAHEIS kelapan dengan cerpen Menanti Subuh. Dalam tahun 1997, cerpen Surat Untuk Gabe 1 memenangi Hadiah Sastera Karya.

Faisal seterusnya memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia pada tahun 1998 (dengan cerpen Cinta Gendang Kasturi), 1999 (cerpen Bulan dan Wira dan puisi Sesudah Hujan Dahlia) dan dalam tahun 2000 dengan cerpen Irisan-irisan Mimpi dan Syahid Raja Api. Faisal juga memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 96/97 dengan cerpen Perempuan Anggerik. Cerpen beliau ini diterjemahkan ke bahasa Thai, Inggeris dan Jepun serta diadaptasi ke dramatari oleh kareografer terkenal Adikara Dance Theatre, Jasni Abdul Hamid pada 29 Julai 2001. Dalam tahun 2001 juga Faisal memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam dengan cerpen Cahaya Pada Jiwa. Salah sebuah cerpen Faisal iaitu Kerana Manisnya Epal terkandung dalam komponen sastera dalam subjek Bahasa Melayu bagi Tingkatan Empat. Dua kumpulan cerpen mini beliau diterbitkan di Sasbadi dengan judul Sehari Dalam Perang (1997) dan Safari Gilgit (1997). Beliau membuat "kecoh" bersama Azman Husin dalam tahun 2000 dengan menerbitkan Kumpulan Cerpen Underground secara "berduet".

0 kesannya:

Post a Comment

 

Subscribe to Badar KISAS

Contact us

Email us: badarkisas@gmail.com

Penaung