2 May 2009

Dr. Juanda Jaya



Bekas Naib Mufti Sarawak, Dr Juanda Jaya, 37, akan dilantik sebagai Mufti Perlis yang baru, menggantikan Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang kontraknya ditamatkan pada akhir November lalu.

Pelantikan Dr Juanda yang juga bekas Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Sarawak, disahkan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, sekaligus merungkai spekulasi mengenai calon Mufti Perlis sejak jawatan itu dikosongkan dua bulan lalu. Malah, pelantikan beliau ke jawatan berkenaan juga sudah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Berdasarkan kontrak, Dr Juanda dipinjamkan kerajaan Sarawak untuk mengisi jawatan Mufti Perlis bagi tempoh dua tahun dan beliau dijangka memulakan tugas awal Februari ini, selepas urusan pemindahan selesai dengan kerajaan Sarawak dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Jawatan Mufti Perlis kosong apabila kontrak Dr Asri yang dipinjamkan Universiti Sains Malaysia (USM) kepada kerajaan negeri tamat tempoh pada 1 Disember lalu. Malah, Dr Asri sebelum berangkat ke England untuk membuat kajian berkaitan perbandingan mengenai tafsiran hadis antara fundamentalis dan orientalis di Lampetex, United Kingdom pernah menamakan beberapa calon, termasuk Dr Juanda yang dianggap sesuai sebagai pengganti beliau.
Dr Juanda dari keturunan Melanau adalah lepasan Kolej Islam Klang, lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir dan mempunyai Ijazah Sarjana Syariah dengan pengkhususan Penggubalan Undang-Undang Keluarga Islam Malaysia daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Md Isa berkata selain diperkenan Tuanku Raja Perlis, pemilihan Dr Juanda untuk mengisi kekosongan jawatan Mufti Perlis berdasarkan kelayakan peribadi, terutama akademiknya yang tinggi serta sumbangannya kepada agama Islam. Paling penting, beliau dianggap calon paling sesuai kerana begitu memahami mengenai Mazhab Sunnah Wal Jamaah yang selari dengan perlembagaan negeri.

Sekalung tahniah diucapkan kepada Dr Juanda Jaya yang bakal dilantik sebagai Mufti Perlis yang baru.

0 kesannya:

Post a Comment

 

Subscribe to Badar KISAS

Contact us

Email us: badarkisas@gmail.com

Penaung