25 June 2014

Projek Ramadhan KISAS

Insya-Allah sempena meraikan bulan Ramadhan yang bahangnya kian terasa, pihak badan-badan kepimpinan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) diterajui oleh Badan Dakwah dan Rohani (BADAR), Lembaga Ketua Pelajar (LKP), Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Majlis Perwakilan Pelajar Pra-Universiti (MPPU) dan PERKISAS mengajak semua untuk sama-sama menyambut tetamu yang semakin hari semakin hampir iaitu Ramadhan Kareem.



Oleh itu, pihak kepimpinan Kisas akan menganjurkan beberapa aktiviti yang menarik menuju bulan Ramadhan. Juga dianjurkan kempen 'Hashtag' (#) iaitu #projekramadhanKISAS.



Projek ini telah dirasmikan oleh wakil Badan Dakwah Dan Rohani Kisas, Al-Akh Muhammad Hakim Bin Ismail selaku Presiden BADAR 13/14 pada 23 Jun 2014. Tema Kempen tahun ini ialah;
"Tetamuku Ramadhan"
Kempen berlangsung dari 23 Jun hingga 4 Julai 2014.

Jom sama-sama kita imarahkan dan meraikan ketibaan tetamu tercinta kita!


10 June 2014

Menangislah...

Cerpen : Menangislah


Pernahkan kita menangis?
Mengapa kita menangis?
Mari muhasabah diri kita.

Sama-sama hayati cerpen ini. Semoga Allah redha dengan kita.w/pun pjg..bacalah hga habis n think about it deeply...mgkin anda x faham...tp. insyaALLAH hidayah akan dtg juga..percayalah pd ALLAH..

Terimalah : 

Menangislah

Suasana surau sepi. Yang kedengaran cuma bunyi putaran kipas siling di sudut hadapan masjid. Seseorang sedang duduk bersila di situ. Tangannya menongkat badannya ke belakang. Sesekali jam elektronik di dinding masjid diperhatikan. 7:15PM.

'Sekejap lagi masuk waktu Maghrib. Mana semua orang ni?'

"Assalamu'alaikum!" Tiba-tiba kedengaran suara dari belakang.

"Wa'alaikumussalam Warahmatullah." Dia menoleh. Kelihatan seseorang berkopiah hitam berdiri di belakang dengan wajah yang tersenyum.

"Awal datang? Seorang sahajakah?"

"Taklah. Bertiga." Imran menjawab selamba. Yang berkopiah menoleh ke kiri ke kanan. Kelihatan sedikit jambangnya yang nipis. Namun tetap kemas dan terurus.

"Siapa lagi dua orang tu? Tak nampak pun?"

"Lagi dua tu bukan orang, malaikat pencatat kiri dan kanan." Dia tersenyum. Sambil membetulkan duduknya.

"Owh, kalau macam tu ramailah yang ada dalam surau ini sebenarnya kan?" Yang berkopiah terus tersenyum. Sesekali membetulkan letak kopiahnya. Dia menghulurkan tangan.

"Nama aku Ismail. Semester 4. Mechanical. Kau?"

"Imran. Semester 3. Avionics."

"Okay Imran. Aku nak azan sekejap ye."

Imran mengangguk. Ismail bergerak ke mikrofon. Tidak lama kemudian azan berkumandang. Hati-hati yang masih ingin membesarkan Allah mencetuskan impuls dalam otaknya yang kemudiannya menggerakkan otot-otot kakinya untuk bergerak ke surau kampus. Namun sebahagian besarnya lebih membesarkan perasaan mengantuk dan terus memekakkan telinga dan membatukan diri di atas ranjang.

Ismail melantunkan iqamah. Lalu seorang pelajar senior bergerak ke hadapan mengimamkan solat. Solat didirikan penuh takzim. Imran berada di saf paling hadapan berhampiran dengan imam. Imam membacakan Surah An-Naba'. Sesampainya di ayat yang ke-21, "Inna jahannama kaanats mirshooda.."
Tiba-tiba Imran terasa makmum di sebelah kanannya menggeletar. Imran mula memberi perhatian kepada orang di sebelahnya itu.

'Eh, dia menangis?' Hatinya bertanya-tanya. Hatinya cuba menghayati bacaan imam. Namun kelemahannya menguasai bahasa Arab menyebabkan penghayatannya terbatas. Makmum disebelahnya terus-terusan menangis sehingga imam menamatkan bacaan.

Selesai solat Imran duduk bersendirian bersandar di sebuah tiang. Tangannya memegang terjemahan Al-Quran. Tafsir Surah An-Naba' menjadi pilihannya.

Sesungguhnya neraka Jahannam itu (padanya) ada tempat pengintai, [21]



lagi menjadi tempat kembali bagi orang-orang yang melampaui batas,[22]

mereka tinggal di dalamnya berabad-abad lamanya,[23]

mereka tidak merasakan kesejukan di dalamnya dan tidak (pula mendapat) minuman,[24]

selain air yang mendidih dan nanah,[25]

sebagai pambalasan yang setimpal.[26]

Sesungguhnya mereka tidak berharap (takut) kepada hisab,[27]

dan mereka mendustakan ayat-ayat Kami dengan sesungguh- sungguhnya.[28]

Dan segala sesuatu telah Kami catat dalam suatu kitab. [29]

Karena itu rasakanlah. Dan Kami sekali-kali tidak akan menambah kepada kamu selain daripada azab.[30]


'Allah...aku tak pernah tahu maksud surah ini. Abang tadi boleh menangis mendengarnya. Macam mana aku?'

"Tak balik bilik Imran?" Ismail muncul menghentikan lamunannya.

"Tunggu sampai Isya' rasanya. Kau?"

"Aku pun sama. Bilik kau di mana?"

"Putera 3. 03-00-04. Kau?"

"Putera 2. 02-03-02"

"Wah, jauhnya. Tingkat paling atas pula tu. Sanggup kau turun ya?"

"Allah tiap-tiap hari bagi kita oksigen untuk kita, tak pernah mengeluh. Jantung kita dia degupkan setiap saat, tak pernah rasa penat. Tiba-tiba kita kata penat pula nak turun sembah dia. Sehari lima kali sahaja. Tidak pelikkah?" Katanya sambil tersenyum.

"Betul juga. Aku yang duduk ground floor ini pun jarang pergi surau. Nak dapat seminggu 3 kali pun susah. Malu dengan kau."

"Apa yang nak dimalukan. Lepas ini bolehlah kita jumpa-jumpa selalu di sini. Semoga Allah semakin redha dengan kita. Tahu kan salah satu golongan yang mendapat naungan Allah di akhirat kelak?"

Imran menjungkit bahu menghantar isyarat 'Tidak tahu.'

"Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid."

"Allah nak ke bagi naungan dia pada orang macam aku ya? Layakkah aku? Aku ni bukannya baik pun. Selalu buat benda-benda mengarut sahaja. Dosa maksiat semuanya dah sebati dalam hidup aku. Aku banyak dosa Ismail."

"Imran, dalam mencari kebaikan dan mengejar syurga tiada istilah layak atau tidak. Yang ada cuma mahu ataupun tidak. Sebab itu adanya peribahasa, 'Hendak seribu usaha, tak hendak seribu dalih'. Kalau kita mahu redha dan syurga Allah, makanya kita kenalah banyakkan melanggah ke arahnya dari dunia lagi. Itu kalau kita hendaklah. Kalau tidak, tak dapeklah den nak nolongnye." Ismail meniru loghat Negeri Sembilan.

"Owh, macam mana nak terus melangkah ke syurga?"

"Melangkah ke syurga perlu dengan keimanan. Keimanan itu perlu dibina. Dan tak mudah nak membinanya. Kita akan diuji. Kau cuba baca Surah Al-Ankabut,Surah ke 29 ayat 2 dan 3."

Imran menyelak helaian terjemahan Al-Quran di tangannya.

Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.
[Q.S. Al-Ankabut, 29:2-3]

Sebab itu kita kena sentiasa diperingatkan dengan pesanan-pesanan daripada ayat Al-Quran dan hadis nabi. Sekali lagi, kalau kita nak kekal melangkah ke syurga dalam keimanan. Kalau tak mahu?"

"Tak dapeklah den nak nolongnye." Imran kembali mengajuk. Mereka tertawa kecil.

"Macam mana pula nak sentiasa diperingatkan tu?" Imran kembali bertanya.

"Kena ada majlis ilmu yang konsisten yang sentiasa mengingatkan kita. Kalau aku dengan kawan-kawan ada buat halaqoh. Seminggu sekali."

"Halaqoh? TV9?"

"Hahaha. Lebih kuranglah. Tapi yang ini kita buat di surau je. Macam usrahla."

"Owh. Biasanya buat bila ya?"

"Biasanya malam-malam, bila semua orang dah habis urusan masing-masing. Dalam pukul 10:30PM. Malam ni ada, insya-Allah. Kenapa?"

"Boleh aku ikut?"

"Alhamdulillah. Mestilah boleh. Bahkan digalakkan!"

Malam itu sepuluh pasang alas kaki bersusun rapi di hadapan pintu Surau Syaidina Ali. Di dalamnya terdapat satu lingkaran bulatan yang dipanggil Halaqoh. Malam itu giliran Ismail menjadi pengerusi majlis. Majlis dibuka dengan bacaan Surah Al-Fatihah.

"Sesungguhnya segala puji bagi Allah SWT. Kita memujiNya, meminta pertolongan dan ampunan kepadaNya. Kita berlindung kepadaNya daripada keburukan diri kita dan kesilapan amal-amal kita. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka tiada apa yang mampu menyesatkannya. Namun, barangsiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiada yang mampu memberikannya petunjuk. Mari sama-sama kita meyakini bahawa tiada tuhan yang yang layak untuk disembah melainkan Allah, tiada sekutu baginya. Dan mari kita menyakini bahawa Muhammad itu hamba Allah dan RasulNya."

Ismail memulakan majlis dengan penuh semangat dan mengajak agar setiap yang hadir mengikhlaskan niat agar segala yang dijalani sepanjang pertemuan tersebut membuahkan pahala yang bakal menjadi bukti mereka di hadapan Allah SWT kelak. Bukti bahawa mereka telah berusaha untuk mendekatkan diri kepadaNya dan memperjuangkan agamaNya.

Majlis diteruskan dengan tilawah Al-Quran. Setiap orang membaca satu muka. Imran membaca muka surat 309. Setibanya ayat yang ke 58 daripada Surah Maryam itu, mereka bersujud tilawah bersama. Imran masih belum terbiasa melakukannya. Dia hanya memerhati.

'Bagusnya mereka ini. Aku tak pernah lagi sujud tilawah. Bagusnya kalau boleh jadi macam mereka.'

Imran meneruskan bacaannya sehingga selesai. Lalu bacaan pada muka surat ke-310 disambung oleh orang di sebelah kanannya. Ketika ayat ke-68 dibacakan, tiba-tiba dia terhenti. Suaranya tersekat-sekat. Imran memerhatikannya.

'Kenapa dia ni? Tadi elok je baca?'

Bacaan diteruskan. Namun setibanya di ayat yang ke-71, Imran dapan merasakan orang di sebelahnya itu menggeletar. Lalu kedengaran suara menahan tangis. Orang itu menangis. Imran jadi teringat peristiwa maghrib tadi.

'Eh, dia inilah makmum di sebelah aku masa maghrib tadi.'

Imran segera menyemak terjemahan ayat yang sedang dibacakan.

Dan berkata manusia: "Betulkah apabila aku telah mati, bahwa aku sungguh-sungguh akan dibangkitkan menjadi hidup kembali?" [66]

Dan tidakkah manusia itu memikirkan bahwa sesungguhnya Kami telah menciptakannya dahulu, sedang ia tidak ada sama sekali? [67]

Demi Tuhanmu, sesungguhnya akan Kami bangkitkan mereka bersama syaitan, kemudian akan Kami datangkan mereka ke sekeliling Jahannam dengan berlutut. [68]

Kemudian pasti akan Kami tarik dari tiap-tiap golongan siapa di antara mereka yang sangat durhaka kepada Tuhan Yang Maha Pemurah. [69]

Dan kemudian Kami sungguh lebih mengetahui orang-orang yang seharusnya dimasukkan ke dalam neraka. [70]

Dan tidak ada seorangpun dari padamu, melainkan mendatangi neraka itu. Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan. [71]

Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan berlutut. [72]

Kemudian kedengaran suara mereka yang lain turus menahan tangisan. Imran jadi semakin terkesima.

'Ya-Allah, beginikah orang-orang yang dekat kepadaMu? Mudah sekali mereka menangis. Kurniakanlah aku hati yang mudah menangis mendengar ayat-ayatMu Ya-Allah...' Hatinya bergetar. Imran terus melayan perasaannya.

Sesi seterusnya adalah Tadabbur Al-Quran. Mentadabburi ayat Al-Quran adalah mengambil pengajaran daripada ayat-ayat Al-Quran. Orang di sebelahnya itu mentadabburi ayat yang ke-71.

"Ikhwahfillah sekalian. Para sahabat adalah orang-orang yang sangat peka dan sensitif dengan ayat-ayat Al-Quran. Setiap kali ayat diturunkan, mereka merasakan bahawa kepada merekalah ayat tersebut ditujukan. Ketika Ibnu Mas'ud RA mendengar ayat yang ke-71 ini, beliau takut sehingga pengsan. Setelah tersedar dan mendengar bacaan tersebut, sekali lagi beliau pengsan. Bayangkan sahabat mulia pendamping Rasulullah SAW tersebut. Beliau amat takut dengan neraka. Sedangkan beliau adalah sahabat yang mulia. Yang berjuang bersama-sama dengan Rasulullah. Tetapi bagaimana dengan kita?"

Imran mendengar penuh saksama. Seumur hidupnya itulah kali pertama dia mendengar ada orang yang sebegitu takutnya dengan azab Allah. Mendengar ayat Al-Quran sehingga pengsan!

"Kita mungkin juga menangis. Tetapi kebanyakan tangisan kita tangisan murahan. Orang yang ditinggalkan kekasihnya menangis. Orang yang kehilangan hartanya menangis. Orang yang gagal dalam peperiksaan menangis. Namun tangisan itu tidak berharga. Tangisan itu kerana dunia. Tangisan yang berharga adalah kerana Allah. Abu Hurairah RA meriwayatkan,

Ketika turun ayat “afamin haadzal hadiitsi ta’jabuun” Ahli Shuffah berkata: “innaa lillah wainnaa ilaihi raji’un”. Kemudian mereka menangis hingga pipi mereka penuh dengan air mata. Ketika Rasulullah mendengar tangisan mereka, beliaupun menangis bersama mereka, maka akupun menangis. Maka Rasulullah SAW bersabda:

"Tidak akan masuk neraka orang yang menangis karena takut kepada Allah dan tidak akan masuk syurga orang terus menerus maksiat kepada Allah. Sekiranya kamu tidak berdosa pasti Allah akan mewafatkanmu dan Dia akan mendatangkan satu kaum yang berdosa kemudian mengampuni dan menyayangi mereka. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang"

"Kita yang jauh lebih banyak melakukan dosa ini sepatutnya merasakan ayat ini jauh lebih tepat mengenai batang hidung kita. Dosa-dosa yang kita lakukan, sudahkah terampuni. Amal-amal yang kita lakukan, apakah diterima? Bayangkan kita tidak layak masuk ke syurga kerana sikitnya amal kita. Bayangkan bagaimana ngerinya jika kita digiring ke neraka? Na'uzubillah. Ikhwahfillah, menangislah tatkala membaca Al-Quran. Menangislah, kerana itu sunnah!"

Imran tidak dapat menahan tangisnya lagi. Badannya menggeletar. Air matanya mencurah-curah. Dia menekup wajahnya.

'Ya-Allah..aku banyak dosa! Jangan tarik aku ke neraka Ya-Allah! Aku ingin bertaubat. Ampuni aku Ya-Allah.' hatinya bermunajat lirih.



Dia menangis semahu-mahunya. Dia terkenang dosa-dosanya. Maksiat-maksiat serta ketelanjurannya terbayang-bayang dalam fikirannya.Ismail mengusap-ngusap bahunya menenangkannya. Imran tetap terus menangis. Hatinya hiba. Dia ingin berubah. Kini hatinya menangis. Dan tangisannya itu kerana Rabbnya. Tangisannya bukan lagi tangisan murahan. Tangisan yang mampu memadamkan gejolak api neraka.

Hati-hati lain yang menyaksikannya turut bertasbih sedalam-dalamnya. Malam itu Surau Syaidina Ali mendapatkan seorang lagi tetamu tetapnya.




Sekadar perkongsian daripada blog sahabat

Al-Mulk


Surah Al-Mulk adalah surah yang ke-67 daripada 114 surah yang terdapat di dalam Al-Quran Nul Karim. Al-Mulk boleh didefinasikan sebagai “Kerajaan atau Kekuasaan”. Surah ini mengandungi 30 ayat dan ia telah diturunkan di Kota Mekah.

Selain itu Surah Al-Mulk ini juga dikatakan surah keamanan dan kesejahteraan kerana ia boleh menyelamatkan para pembaca surah ini dari seksaan kubur. Ini telah terbukti pada zaman Rasulullah s.a.w dari Ibnu Abbas menceritakan :

Pernah pada suatu ketika para sahabat berkhemah di atas kubur. Mereka sebenarnya tidak menyangka tempat itu adalah kubur. Setelah beberapa ketika berada di dalam khemah, mereka tiba-tiba terdengar suara orang membaca Surah Al-Mulk dari mula hingga akhir surah tersebut. Suara itu datangnya dari dalam tanah. Maka tahulah mereka bahawa sebenarnya mereka sedang berkhemah di atas kubur. Kemudian hal tersebut telah diceritakan kepada Rasulullah s.a.w lalu baginda bersabda yang bermaksud ; “Surah Al-Mulk adalah surah pelepasan kerana ia menghindarkan para pembacanya dari azab neraka” – diriwayatkan oleh Iman Tirmidzi.

Maka fahami maksudnya dan bacalah surah tersebut setiap hari secara istiqamah, semoga kita terlepas dari siksaan azab kubur dan ia akan menjadi pelindung kita semasa kita berada di dalam kubur. InsyaAllah



 

Subscribe to Badar KISAS

Contact us

Email us: badarkisas@gmail.com

Penaung