28 August 2010

universiti ramadhan

"Apabila bulan Ramadhan telah datang, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan."
(Muttafaq 'alaih)

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, sedar tak sedar, Ramadhan sudah amat hampir dengan kita. Alhamdulillah. Ya Allah sampaikan kami ke bulan mulia itu. Amin.

Teruja tidak untuk menghadapi bulan Ramadhan? Sudah tidak sabar-sabar? Jika para sahabat, bulan Ramadhan merupakan suatu bulan yang amat mereka nanti-nantikan. Sebelum hadirnya Ramadhan, mereka sering meminta-minta kepada Allah agar mereka diketemukan dengan Ramadhan yang berikutnya. Seperti do'a yang diajarkan Rasulullah SAW,

“Allaahumma Baarik Lana Fii Rajaba Wa Sya’baana, Wa Ballighna Ramadhaana."

Ertinya: Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami di dalam bulan Rejab dan Sya’ban serta sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan.

Bagi menyambutnya juga, persediaan dari sudut rohani, fizikal dan mental dipersiapkan bagi mengharungi bulan Ramadhan yang peluangnya datang hanya setahun sekali. Seperti lagaknya mahu menyambut satu perayaan besar-besaran, persiapan-persiapan pra-perayaan perlu dilakukan. Pelbagai jenis persiapan akan dilakukan demi memastikan perjalanan pada hari perayaan kelak dapat berjalan dengan lancar dan berjayanya.

Begitu juga dalam kita menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak. Persiapan-persiapan pra-Ramadhan harus kita lakukan sebaiknya. Kita mahu diri kita tenang melaksanakan ibadah-ibadah di dalamnya. Kita mahu latihan diri di bulan Ramadhan dapat kita jalani dengan berjayanya. Dan persediaan yang saya katakan di sini sudah tentu bukan persediaan wang ringgit mahupun materialistik. Persediaan yang dimaksudkan adalah persiapan diri. Itu yang utama.

Cuba anda tanya diri. Tika ini, sudah cukupkah persediaan yang aku lakukan untuk menghadapinya?



Universiti Ramadhan

Dalam kita mempersiapkan diri, pertama, makna Ramadhan itu sendiri harus kita fahami. Ia amat penting agar hadirnya Ramadhan kita hargai, kemudian ketika di dalamnya kita menggunakan peluang yang ada sehabis baik, lantas di hujungnya, moga-moga Ramadhan kali ini menjadi suatu bulan yang penuh makna bagi kita. Menjadikan kita seorang manusia yang lebih baik daripada sebelumnya.

Pelbagai nama digunakan dalam mendefinisikan Ramadhan. 'Bulan keberkatan' (RamadhanAl-Mubarak), 'Bulan Kemuliaan' (Ramadhan Al-Kareem), dan pelbagai lagi.

Di sini, suka untuk saya sentuh dari satu sudut lain, yakni bulan Ramadhan sebagai universiti, atau sekolah. Atau sering kali dipanggil, 'Madrasah Ramadhan'.

Universiti Ramadhan? Apakah? Istilah yang digunakan itu tidak penting mana sebenarnya. Apa yang utama, konsep atau maknanya kita fahami.

Baik. Secara mudah, apa yang manusia perolehi apabila berada di sebuah universiti? Didikan, latihan, pengajaran dan pembelajaran, proses pembentukan insan, seterusnya dan seterusnya. Benar?

Justeru, begitu juga bagaimana seharusnya kita melihat bulan Ramadhan kali ini. Bulan Ramadhan ini hakikatnya adalah 'Bulan Tarbiyah' (Bulan Didikan), yang mana melaluinya, seseorang Muslim itu seharusnya terdidik jiwanya. Terdidik peribadinya.

Bagaimana Ramadhan ini dapat mendidik kita? Sesungguhnya pelbagai didikan yang Allah beri pada kita melalui Ramadhan.

Dengan ibadah puasa sahaja, kita didik untuk mengawal nafsu kita. Kita dididik bukan hanya untuk menahan diri dari makan dan minum. Bahkan, pada masa yang sama, kita turut dididik untuk mengawal nafsu syahwat kita. Ketika berpuasa kita hendaklah menjaga kemaluan, menjaga pandangan mata, hatta menjaga hati kita sekalipun.

Perkara ini ramai yang terlepas pandang. Bulan Ramadhan sebagai satu bulan pendidik nafsu. Sama ada mereka tidak tahu, atau tahu tapi buat tak endah.

"Orang yang berpuasa itu meninggalkan makan, minum dan syahwatnya karena taat pada perintahKu(Allah). Puasa adalah untukKu dan Aku akan memberikan balasannya, sedang sesuatu kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali lipat gandanya."
(HR. Imam Bukhari) -Hadis Qudsi

Tambahan lagi, kita bukan sahaja sekadar dididik untuk memelihara nafsu, malah kita juga dididik untuk menjaga lidah kita. Kenapa lidah? Bak kata cendekiawan, ‘Lidah itu lebih tajam dari pisau’.

Dengan mulut yang celupar, ramai yang akan sakit hati. Melalui tutur kata yang kesat, permusuhan dan pergaduhan dengan mudahnya dapat tercetus. Wah! Bahaya sungguh lidah kita ini ya.

"Apabila pada hari seseorang di antara engkau semua itu berpuasa, maka janganlah ia bercakap-cakap yang kotor dan jangan pula bertengkar. Apabila ia dimaki-maki oleh seseorang atau dilawan bermusuhan, maka hendaklah ia berkata: "Sesungguhnya saya sedang berpuasa."
(Muttafaq 'alaih)

Maka, di bulan Ramadhan ini juga, mari kita latih diri untuk menjaga lidah kita. Memelihara tutur kata kita. Berkatalah menggunakan kata-kata yang baik dan ada manfaat. Jika tidak dapat melakukannya, cukuplah hanya berdiam diri. Ya. Satu perkara yang harus kita pandang serius. Mengapa? Seandainya perintah ini kita abaikan, ditakuti, tidak ada apa-apa yang akan kita peroleh dari puasa kita nanti, melainkan hanya lapar dan dahaga.

Dalam sebuah hadis, "Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan tidak pula meninggalkan berkelakuan dengan dasar dusta, maka tidak ada keperluannya bagi Allah dalam ia meninggalkan makan dan minumnya. Maksudnya: Di waktu berpuasa itu hendaknya meninggalkan hal-hal di atas, agar puasanya tadi mendapat pahala."
(HR. Bukhari)

Ayuh! Siapkan diri kita untuk dilatih.

Banyak lagi didikan-didikan yang mampu kita perolehi dari bulan mulia ini. Ramadhan melatih kita untuk sabar dan tabah tika diuji. Mendidik kita untuk mampu mengawal diri kita. Melatih kita berdisiplin. Mendidik diri kita untuk menjadi hambaNya yang sebenar-benarnya selama 24 jam sehari, 7 hari seminggu.

Mudah kata, didikan rohani dan diri yang diberikan bersifat ‘holistik’.

Hmm.. Namun begitu, adakah semua muslim akan berjaya terdidik dengan didikan-didikan di dalam Ramadhan?

Adakah pasti, diri kita ini akan menjadi seorang insan yang lebih baik selepas melalui bulan Ramadhan?

Semudah itukah?

Bak kata salah seorang pensyarah saya, “I may help you. But if you don’t help yourself, I can’t do anything to help you.”

Benar. Justeru, dalam apa-apa perkara sekalipun, semuanya akan kembali pada diri kita sendiri.

Biar kita ditempatkan di universiti terbaik sekalipun, malah dididik oleh guru yang terhebat, selagi mana kita sendiri tidak mahu terdidik, tidak mahu menyediakan diri untuk perubahan ke arah yang lebih baik, maka semuanya itu hanya akan menjadi sia-sia sahaja.

Bayangkan, ketika berada di dalam universiti, ketika kelas sedang berlangsung, fikiran kita menerawang ke tempat lain. Sewaktu pensyarah sedang mengajar, kita bersembang.Tatkala silibus pelajaran disampaikan, kita tidur. Ataupun, kelas yang diadakan itu sendiri langsung tidak kita hadiri.

Maka apakah proses pendidikan itu dapat berjalan? Jika begitu sikap kita, adakah kita dapat mengambil manfaat dari pelajaran yang dikurniakan?

Sudah tentu tidak!

Maka begitu juga dengan bulan Ramadhan. First rule. Jika kamu tidak mahu membantu diri kamu sendiri, maka kamu tidak akan terbantu.

Justeru amat penting kita menyedari bulan Ramadhan kali ini sebagai satu bulan didikan. Satu bulan tarbiyah. Lantas kemudiannya menyediakan diri kita untuk terdidik dengan dididikan-dididikan Ramadhan.

Mari kita mempersiapkan diri menghadapinya. Mari sama-sama kita pasang niat serta target, mahu menjadi hambaNya yang lebih baik selepas melalui Ramadhan. Dapat menjalankan peranan sebagai hamba sepenuh masa.

Ayuh!

Harapannya, proses didikan ini akan menjadi suatu pengalaman yang amat kita hargai dan merasa syukur, ketika kita melihatnya kembali sewaktu berada di Akhirat kelak. InsyaAllah.

Moga-moga, Ramadhan kali ini penuh makna.

17 August 2010

Perbezaan Pendapat di Sebalik Perlantikan Hakim Syarie Wanita

Baru-baru ini apabila kerajaan telah melantik dua orang hakim wanita yang pertama di negara ini, timbul sedikit keluh-resah di kalangan masyarakat tentang hukumnya - apakah diharuskan atau tidak. Meskipun terdapat fatwa yang telah dikeluarkan olehJawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengenai isu ini, namun ramai yang masih keliru. Ini berkemungkinan kerana keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu tidak dihuraikan dengan terperinci tentang nas-nas dan dalil-dalilnya. Rujukan dalam laman web fatwa berkenaan, didapati penjelasan yang diberi sangat terbatas dan terlalu ringkas iaitu dengan berpegang kepada pandangan dari Mazhab Hanafi yang membenarkan perlantikan hakim wanita dibuat dalam kes-kes yang tidak melibatkan Hudud dan Qisas.

Jika niat kerana Allah, pasti Allah akan menunjuk jalan

Bagi sesiapa yang berpeluang membaca dan mengkaji isu ini, sudah tentu anda akan dapati, banyak penulisan-penulisan yang merumuskan bahawa para fuqaha telah berselisih pendapat mengenai perlantikan hakim wanita ini. Terdapat dua pandangan yang paling popular iaitu pandangan pertama seperti yang dikemukakan oleh Jumhur Fuqaha yang terdiri dari Mazhab Syafii, Maliki dan Hanbali, mereka semuanya menolak perlantikan hakim wanita sekalipun dalam kes-kes yang kesaksian wanita diterima seperti dalam kes yang melibatkan pertikaian harta.

1. Antara hujah-hujah mereka adalah tafsiran kepada ayat al-Quran dalam Surah al-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan.”

Menurut al-Mawardy (al-Ahkam al-Sultaniyyah), lelaki mempunyai kelebihan dari segi akal fikiran sedangkan terdapat kekurangan wanita dari aspek itu.

2. Berdasarkan Hadis:

“Tidak akan berjaya sesuatu kaum yang melantik wanita mengendalikan urusan mereka.” (Sahih Bukhari. Jil. 9)

3. Dalil Aqli: Tugas seseorang Hakim memerlukan ia duduk di antara pihak-pihak yang bertelagah termasuklah dari kalangan lelaki jadi ditakuti akan menimbulkan fitnah.

4. Faktor sejarah: Tiada sebarang riwayat yang menunjukkan Rasulullah s.a.w. dan paraKhulafa al-Rashidin pernah melantik hakim dari kalangan kaum wanita dan ini diikuti oleh pemerintah Islam selepas itu. Jika dibenarkan, sudah tentu akan tercatat di dalam sejarah bahawa pernah dilantik hakim wanita walaupun seorang.

Manakala Mazhab Hanafi pula dikatakan menerima perlantikan hakim wanita di dalam kes-kes yang selain Hudud dan Qisas. Pandangan ini berdasarkan kaedah Qiyas iaitu jika wanita diterima menjadi saksi dalam kes-kes selain Hudud dan Qisas maka dalam kes-kes yang sama wanita juga boleh menjadi Hakim. Dengan kata lain mereka menyamakan tugas memberi kesaksian dengan tugas memberi penghakiman. Hujah ini dikukuhkan dengan ayat al-Quran Surah al-Baqarah: 282, yang membolehkan wanita menjadi saksi dalam keadaan tiada saksi lelaki.

Bagi Mazhab Hanafi, ayat al-Quran yang dihujahkan di dalam Surah al-Nisa’ di atas, hanyalah dikhususkan dalam kepimpinan rumahtangga sahaja dan bukannya mencakupi hal ehwal harta, agama dan urusan amar makruf dan nahi mungkar. Manakala hadis di atas juga ditolak oleh mereka kerana ia menyatakan larangan kepada kaum wanita untuk memegang jawatan pemimpin tertinggi dan bukannya sebagai hakim. Malah ia hanyalah jawapan Rasulullah s.a.w. terhadap persoalan semasa yang dikemukakan oleh para sahabat mengenai tindakan Raja Parsi yang melantik anak perempuannya sebagai pengganti baginda.

Pandangan mazhab Hanafi ini juga telah diterima dan dipersetujui oleh ulamak kontemporari iaitu Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi di dalam bukunya Fatawa Mu’asirah, juz 2. Dan seperti mana yang kita maklum, pandangan Mazhab Hanafi ini juga yang menjadi pegangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Jadikan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan

Benarkah Mazhab Hanafi membenarkan perlantikan hakim wanita

Menurut Tuan Guru Dato’ Haji Salleh Haji Ahmad (bekas pensyarah UM, Ahli Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Fellow Kanan, Kulliyah Undang-Undang UIA) dalam kertas kerjanya bertajuk Hukum Perlantikan Hakim Syarie Wanita yang dibentangkan di Muzakarah anjuran Jabatan Mufti Selangor tahun 2006, menyatakan bahawa paramujtahidin telah ijmak bahawa tidak harus melantik wanita sebagai hakim atau kadi, malah jika pihak berkuasa bertegas mahu melantik juga hakim dari kaum wanita, maka perlantikan itu dianggap sebagai berdosa dan wanita yang menerima perlantikan itu juga berdosa kerana menerima perlantikan yang bertentangan dengan Hukum Syarak.

Bagi Dato Haji Salleh, pandangan yang menyatakan mazhab Hanafi mengharuskan perlantikan hakim wanita sebenarnya adalah “SATU SALAH TANGGAPAN” kerana hakikatnya Mazhab Hanafi juga tidak pernah mengharuskan perlantikan hakim wanita. Punca salah tanggapan ini kerana terdapat satu kenyataan yang dipetik dari kitab al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi karangan al-Marghinani (1936) jld 3, hal. 107 yang bermaksud:

“Harus penghakiman (qadha’) wanita dalam semua perkara kecuali hudud dan Qisas sahaja”

Menurutnya, apa yang dimaksudkan oleh pengarang kitab ini dengan perkataan (penghakiman-al-Qadha’) bukanlah bermaksud mengharuskan melantik hakim wanita secara total kerana perlu dibezakan antara tindakan pemerintah melantik Hakim (al-tauliah wa al-taqlid) dengan perbuatan hakim menjatuhkan hukuman (al-Qadha’). Justeru, apa yang dimaksudkan dengan kenyataan ini adalah tindakan pemerintah untuk melantik hakim wanita tetap dilarang dan berdosa tetapi jika dilantik juga hakim dari kalangan wanita maka hukuman atau keputusan yang dijatuhkan oleh hakim wanita itu tetap dikira sah dan lulus pada kes-kes selain Hudud dan Qisas jika menepati al-Quran dan Sunnah. Menurut Dato’ Hj Salleh lagi dalam tulisannyai:

“Kesimpulannya fuqaha’ dalam Mazhab Hanafi bersatu pendapat dengan mazhab jumhur fuqaha’ tentang hukum haram melantik wanita sebagai hakim dan berdosa raja atau mana-mana pihak berkuasa yang melantiknya. Perbezaannya ialah apakah hukuman wanita itu lulus (boleh dikuatkuasakan) atau tidak? Jumhur Fuqaha’ berpendapat tidak lulus hukumannya sama sekali. Sementara ulama Mazhab Hanafi berpendapat hukuman lulus dengan dua syarat:

i. Hukuman itu hendaklah pada yang lain daripada Hudud dan Qisas;

ii. Hukuman itu hendaklah menepati al-Quran dan al-Sunnah.

Perbahasan mengenai kesilapan memetik pandangan dari Mazhab Hanafi ini juga turut dikupas dengan panjang lebar oleh Dr Muhammad Ra’fat Usman dalam bukunya al-Nizam al-Qadha’I fi al-Fiqh al-Islami.

Jika hujah ini diterima, timbul persoalan, apakah hujah yang digunakan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam melantik hakim wanita ini tepat kerana mengikut pandangan ini Mazhab Hanafi sendiri tidak membenarkan perlantikan Hakim wanita.

Realiti

Dalam satu kertas kerjanya yang bertajuk Hakim Wanita: Suatu Paradoks, Prof Madya Datin Dr Siti Zalikhah Md Noor telah menyatakan tentang kedudukan beberapa Negara Islam yang sudah pun melantik wanita sebagai hakim iaitu Sudan dan Pakistan yang kedua-duanya berpegang kepada Mazhab Hanafi. Manakala Negara Indonesia juga telah lama melantik hakim wanita di dalam Pengadilan Agamanya yang menyamai Mahkamah Syariah di Malaysia. Kajian yang dibuat pada tahun 2004, terdapat lebih ramai hakim wanita di Pengadilan Agama di seluruh Indonesia walaupun mereka berpegang kepada mazhab Syafii. Di Malaysia, para wanita juga telah menjawat jawatan yang penting dalam institusi kehakiman Negara malah sudah ramai peguam syarie, pegawai syariah, pendaftar mahkamah syariah juga dilantik dari kalangan kaum wanita.
Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, kerana, kita yakin sebelum keputusan membenarkan perlantikan hakim wanita ini dibuat, pihak yang berkenaan seperti para mufti dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sendiri telah beberapa kali mengadakan seminar dan wacana mengenai isu ini. Apa yang dipaparkan di sini hanyalah beberapa hujah untuk dikongsi bersama dengan pembaca yang masih ragu-ragu dan keliru dengan situasi yang berlaku.

Pandangan Dato’ Haji Salleh, walaupun mungkin tidak diterima pakai ketika ini, namun kajian tentangnya harus diteruskan kerana ia telah memberi dimensi baru dalam isu ini disokong dengan hujah yang mantap. Apa pun, terserahlah kepada ulul amri untuk menentukan pendapat mana yang sesuai dilaksanakan ketika ini. Walaupun begitu, apa yang pasti, ulul amri juga mempunyai kuasa untuk menerima pakai pandangan yang lain pada masa akan datang jika didapati perlantikan hakim wanita ini bersesuaian dan tidak mendatangkan masalah.

Namun begitu amatlah tidak wajar sama sekali bagi sesetengah orang yang mensifatkan perlantikan hakim wanita di Mahkamah Syariah merupakan satu kejayaan kepada perjuangan memartabatkan kaum wanita di negara ini. Perlantikan seseorang hakim adalah berdasarkan kriteria yang sangat ketat serta mengikut keperluan. Ia bukan kerana perjuangan kaum wanita dan bukan juga kerana untuk memartabatkan wanita tetapi ia kerana adanya nas-nas dan pandangan yang jelas bersumberkan al-Quran dan Sunnahyang membenarkannya.

*Penulisan ini hanyalah sekadar ulasan ringkas dan tafsiran bebas penulis terhadap makalah-makalah seperti di bawah:

1. Kriteria Perlantikan Hakim Syarie Wanita (Dato’ Syeikh Hj Ghazali Abd Rahman-Mantan Ketua Hakim Syarie Malaysia) JH Mac 2007

2. Hakim Wanita: Satu Paradoks ( Prof Madya Datin Dr. Siti Zalikhah Md Noor-Pensyarah Jabatan Syariah UKM) JH Jun 2007

3. Hukum Perlantikan Hakim Syarie Wanita (Dato’ Hj Md Salleh Hj Ahmad-Fellow kanan Kulliyah Undang-Undang UIA dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Selangor) JH September 2007

Rujukan tambahan:

1. Dr Muhammad Ra’fat Usman, al-nizam al-Qadha’I fi al-Fiqh al-Islamy

2. Dr Abdul Karim Zaidan, Nidzam al-Qaha’ Fi al-Syariat al-Islamiyah

Sumber asal daripada al-Wakalah

14 August 2010

Mari Memaksimumkan Bonus Ramadhan


Bagi memastikan sempurnanya puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Bersahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana).

Nabi SAW bersabda :

"Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur." (Riwayat Muslim)

"Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda SAW juga menyebutkan bahawa malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad)

Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan Solat Sunat Tahajjud, Solat Sunat Witir dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan Solat Subuh berjemaah (bagi lelaki). Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh baginda SAW.

3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.

Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca Al-Quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadis dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail a.s. Hal ini disebut di dalam hadis al-Bukhari.

4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.

Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaimana di tegaskan oleh Nabi SAW :-
Ertinya : "Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar)

Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-
Ertinya : “Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" (Riwayat At-Tirmizi)

5) Memperbanyakan doa ketika hampir berbuka.

Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadis Nabi SAW :-
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak." (Riwayat Ibn Majah)

6) Menyegerakan berbuka puasa selepas pasti masuk waktu maghrib.

Berdasarkan hadis Nabi SAW :-
Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang kamu menyegerakan berbuka" (Riwayat Al-Bukhari)

Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan Solat Maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar perlu agar kelaparan tidak mengganggu Solat Magrhib kita. Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan Solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air.
(Abu Ya'la dan al-Bazzar)

7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab (kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air. Ertinya : “Rasulullah SAW berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rutab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air".

8) Amat disunatkan untuk sedekah harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin.

Nabi SAW bersabda :-
Ertinya : “Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" (Riwayat At-Tirmidzi) Disebut dalam sebuah hadis lain, Ertinya : “Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa (berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga" (Riwayat Al-Baihaqi)

9) Menunaikan Solat Sunat Terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian.

Ia berdasarkan hadis riwayat An-Nasaie yang sohih. Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.

10) Memperbanyakkan bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari Riwayat al-Bukhari.

11) Amaran bagi berbuka di siang Ramadhan tanpa uzur.

Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Bulan Ramadhan, maka ia tidak mampu menggantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)


 

Subscribe to Badar KISAS

Contact us

Email us: badarkisas@gmail.com

Penaung