17 June 2016

Sanah Helwah ya Habibullah


12 Rabiulawal 1437

Dulu sekitar 1500 yang sudah
Terlahir dari rahim suci Aminah,
Isteri kepada lelaki mulia Abdullah,
Telah lahirnya Muhammad Ya Rasulullah.

Terbukti kebijaksanaannya dalam menyusun langkah,
Hebat kendali pasukan bergajah,
Melalui kepimpinan Abrahah,
Telah gagal menyerang Kota Mekah.

“Wei, harini birthday kekasih kecintaan aku. Seseorang yang sangat berjasa pada aku. Kepada ummah. Dulu aku pernah terjatuh dalam lubang kejahilan. Lalu Allah hadirkan seseorang yang kenalkan aku kepada kekasih aku yang bimbing aku ke jalan yang lurus. Dia selalu rindu aku. Rindu kau.”

“Rindu aku? Ceh tak pernah pernah orang rindu aku. Selama ni aku je rindu orang. Eh kau tak kisah ke dia rindu aku ni. Dia kan kecintaan kau.”

“Dia kecintaan kita”

“Siapa? Handsome tak? Bawak la aku jumpa dia”

“Orangnya sempurna. Sempurna pada iman dan akalnya. Tapi… dia dah takde. 1400 tahun lalu dia pergi tinggalkan kita. Tapi dia tak biarkan kita terkapai-kapai. Dia tinggalkan Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi pembimbing kita.”

“………….”

“Lepasni jangan sedih kalau takde orang rindu kita. Pujuk hati, Rasulullah rindu kita. Baginda rindu umatnya.”

“Ya Rasulullah…………”

Ya Rasulullah, Berderai air mataku *bunyi muzik sedih*


12 Rabiulawal merupakan detik kelahiran rasulullah. Detik yang sangat bermakna buat seorang yang bergelar  umat Muhammad SAW. Detik kelahiran kekasih kecintaan kita. Kerana baginda, kita menerima Islam. Kerana baginda, kita dijamin masuk syurga Allah yang mashaAllah sungguh indah.
Hadirnya baginda Rasulullah, pembawa rahmat kepada seluruh alam.

“Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”
(Surah al-Anbiyaa’, ayat 107)

“Dia ialah Muhammad, dia ialah Ahmad, dia ialah Nabi Rahmat dan Nabi Taubat, dia ialah Al-Muqaffa (yang menjejaki, dituruti, diteladani), dia ialah al-Hasyir (pengumpul) dan dia ialah Nabi al-Malahim.”

Tiada kata yang keluar dari mulut ini..
Tiada ungkapan yang dapat digantikan dengan betapa kasihnya Baginda SAW kepada umatnya.
Pernah suatu ketika, ada sebuah hadis yang disabdakan oleh Rasulullah berkenaan umatnya yang tertera di dalam kitab Kanzul Ummal.

Suatu ketika berkumpullah Nabi Muhammad SAW bersama para sahabatnya yang mulia. Disana hadir pula sahabat yang paling setia, Abu Bakar as-Siddiq.

Kemudia terucap dari mulut baginda SAW,

“Wahai Abu Bakar, aku begitu rindu hendak bertemu dengan ikhwanku (saudara-saudaraku),”

Suasana di majlis itu hening sejenak. Semua yang hadir diam seolah-olah memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar, itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihinya melafazkan pengakuan sedemikian. Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna.

“Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu?” Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

“Tidak wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku” Suara Rasulullah bernada rendah.

“Kami juga saudaramu wahai Rasulullah” kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan sambal tersenyum. Kemudian baginda bersabda, 

“Saudara-saudaraku adalah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku dan mereka mencintai aku melebihi anak dan orang tua mereka.”


Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda:



"Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.



"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah. Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, 

"Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.


Begitulah Allah menciptakan cinta yang Agung antara nabi dan umatnya. Bukan jarak dan masa yang menjadi ukuran. Bukan bertemu wajah yang menjadi syarat sebuah cinta yang suci. Sebuah kerinduan yang pasti berbalas, iaitu kerinduan yang mendalam terhadap kekasih kecintaan, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Suatu ketika dahulu, Rasulullah SAW tengah menuju kepada seorang ketua kabilah untuk menyampaikan dakwah.

Setelah baginda SAW sampai dan berhadapan dengan ketua kabilah itu yang disaksikan oleh pengikut-pengikut ketua kabilah itu. Baginda berkata kepadanya 'Laillahaillallah Muhammadur Rasulullah'. Tetapi ketua kabilah itu terus memaki dan menghina bagindaSAW. Tetapi baginda SAW tetap bersabar lalu meninggalkan mereka.

Baginda menaiki unta untuk beredar dari situ tetapi ketika baginda SAW naik ke unta itu, ketua kabilah telah menikam unta baginda SAW sehingga baginda jatuh ke tanah.

Baginda SAW sapu muka dan baju baginda tetapi...

Baginda SAW dipukul dan dicampakkan pasir. Tetapi masyaAllah begitu indah akhlak baginda SAW, baginda SAW tetap bersabar lalu pergi meninggalkan mereka.

Zainab anak baginda SAW risau akan Rasulullah SAW, lalu setelah baginda pulang, Zainab terkejut dengan keadaan ayahnya lalu berkata

"Kenapa ayah tetap untuk berdakwah kepada mereka sehingga jadi begini?"

Tetapi apa jawab Rasulullah SAW yang mulia,

"Jangan fikirkan tentang diriku tetapi fikirkanlah tentang umatku"



MasyaAllah mulia sungguh baginda SAW.. :') Baginda SAW sanggup berkorban untuk kita.

Tetapi cuba tanya pada diri, apa kita korbankan untuk agama Islam? Sungguh ke kita cinta kepada baginda saw? Berapa banyak kita sudah selawat kepada baginda SAW hari ini sempena dengan Maulidur Rasul?

Tanya hati tanya iman.

“Ya Rasulullah, kami umatmu akhir zaman. Yang kau rindu yang kau cintai. Walau tidak pernah bersua, walau tutur tidak pernah terdengar. Namun setiap bait doamu ada kami umatmu kini.”

“Perjuanganmu tidak pernah patah, hingga luka tubuhmu demi agama, Kau rela berpanas terik, dicaci maki, demi kami umatmu yang telah tertulis sejak azali.”

Wahai umat akhir zaman,
Pernah kamu terfikir?
Kerana kamulah darah Rasulullah SAW mengalir,
Kerana kamulah air mata Rasulullah mengalir,
Dia terlalu cintakan kamu,
Dia terlalu rindukan kamu,
Walau tidak pernah berjumpa dengan kamu.
Menangislah, luahkan kerinduan kamu kepada junjungan Rasul.
Tidak akan pernah sia-sia air mata yang dialirkan kerana merindui Baginda.
Basahkan lidahmu dengan selawat rindu kepada Habibullah,
Tidak akan pernah sia-sia lidah yang sering basah berselawat dan menyebut nama Baginda SAW.
Tidak akan sia-sia seluruh pancaindera yang digunakan untuk terus mengingati dan mencintai Baginda SAW.

Cintailah baginda Rasulullah SAW kerana baginda amat menyayangi kita semua khususnya kepada umatnya yang tercinta.

‘Inni Uhibbuka Ya Rasulullah’
Allahumma Solli’ala Saiyidina Muhammad

Salam Rabiulawal
Buat pencinta kekasih tercinta.
Aku malu mengaku cinta,
Tapi selawatnya entah berapa.
Aku malu mengaku sayang,
Tapi fikiranku selalu melayang.
Ya Rasulullah,
Hadirmu pengubat luka,
Hadirmu penyejuk mata.
Dirimu hadiah terindah dari Allah buat ummah,
Tangisanmu mengalir kerana kerisauan.
Andai tidak melihatmu dalam jaga, cukuplah dalam lena.
Ya Sayyidi Ya Habibullah..
Kita tidak pernah bertemu,
Tapi hati ini tetap merindu.
Kita tidak pernah bersua muka,
Bertatap mata,
Tetapi tetap saja jiwa ini merasa
Engkau sentiasa ada di balik jiwa.
Ya Rasulullah… Aku Rindu.

Ikhlaskah Niat Kamu?


Setiap perkara yang kita niatkan kerana Allah, pasti akan diuji sejauh mana keikhlasannya.


Di hening fajar subuh, kelihatan sekelompok manusia yang duduk dalam majlis di mana para malaikat  memohon keampunan baginya, tanpa mereka sedari. Sekiranya mereka benar-benar mengetahui nescaya penuhlah  segenap ruang musolla itu malah  mungkin melimpah hingga ke luar kerana tahu betapa besar ganjaran  duduk dalam majlis ilmu. Namun, tidak ramai yang hadir malah yang hadir itupun bukan semua yang benar-benar sedar.

“Kamu diberikan peluang  untuk kembali semula ke bumi  waqafan ini pun sudah dikira satu nikmat kerana masih ramai insan  diluar sana yang meminta untuk berada di sini namun Allah tetap pilih kamu. Perkara yang ingin sekali ditekankan adalah mengenai niat kamu semua. Niat kamu untuk datang belajar di sini kerana siapa? Jika dahulu masuk ke sini kerana dipaksa atau terpaksa, adakah  sehingga ke saat ini pun mahu menyeksa diri dengan rasa terpaksa itu? Bangunlah wahai pipit sekalian, tajdid niat kamu semata-mata kerana Allah ! Keberadaan kamu disini semata-mata ingin mencari keredhaan Allah.” bergema suara pentazkirah menyedarkan hati-hati yang tidur. Sungguh, ini bukan pentazkirah biasa-biasa, ini luar biasa auranya.

Lelahnya di tengah mujahadah kerana silapnya langkah bermula. Jika kamu melangkah ke bumi ini dengan niat yang salah, maka janganlah kamu menyalahkan sesiapa di saat kamu tak mampu lagi melangkah dan jatuh tersungkur. Memang sengaja Allah biarkan kamu jatuh untuk beri kamu kesedaran bahawa hanya dengan niat semata-mata kerana Allah sahaja yang akan menjadi penguat kamu untuk terus melangkah. Biarpun jatuh kerana tohmahan manusia, biarpun lelah kerana ujian dunia, bangunlah kembali kerana kasih sayang Allah itu memenuhi di sebaliknya. 

Setiap perkara yang kita niatkan kerana Allah, pasti akan diuji sejauh mana keikhlasannya. Dalam usaha kita hendak beramal, nafsu itu akan mengganggu kita dan cuba untuk memudarkan niat kita lantas mencampuradukkan usaha kita dan amalan kita dengan niat yang tidak baik kepada Allah. 
Firman Allah s.w.t.: 

وإن تبدوا ما في أنفسكم او تخفوه يحاسبكم به الله
"Jika kamu menyatakan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu."  (Surah Al-Baqarah : 284) 

Sirah para sahabat ada membuktikan bagaimana seorang hamba Allah yang telah membunuh 99 nyawa manusia diberikan hidayah untuk bertaubat. Hatta digenapkan bilangan itu menjadi 100 nyawa kerana membunuh seorang lagi manusia iaitu seorang rahib yang mengatakan bahawa taubatnya tidak akan diterima Allah. Tekad hatinya untuk bertaubat tidak pernah luntur. Selepas dia mendapat petunjuk daripada seorang yang 'alim, Allah takdirkan dia mati di pertengahan jalan dan diampunkan segala dosanya hanya kerana niatnya untuk bertaubat semata-mata kerana Allah. 

Sekarang tanya kepada diri kita, sejauh mana niat kita untuk bertaubat? Sejauh mana niat kita untuk berubah? Biarkan hati itu menjawab dengan jujur. Sungguh, itu semua hanya Allah yang layak menilai. Apabila niat sudah betul, in shaa Allah jalan itu walaupun payah pada awalnya akan menjadi mudah. Maka, jika benar niatmu ke sini benar-benar ingin belajar kerana Allah, terimalah segala apa yang mendatang dengan hati yang terbuka. Pandanglah di setiap kesulitan itu dengan pandangan yang positif. Perbaikilah diri sedikit demi sedikit kerana kita sendiri tidak tahu dimana usaha kita yang Allah nilai. Dan teruskanlah usaha mengikis karat jahiliyah dalam diri dan hiasinya semula dengan akhlak islamiyah. Cuba hayati pepatah arab ini! 

تحلي قبل تخلي ثم تجلي

Pepatah ini menerangkan bahawa bagaimana seseorang itu perlu mengosongkan dahulu hati dari akhlak yang buruk sebelum menghiasinya dengan akhlak yang baik, nescaya akan tersingkaplah keagungan Allah dalam hatinya. 

Hanya Allah sahaja yang tahu betapa payahnya menelan keperitan. Namun, yakinlah pabila keluar nanti kamu akan menjadi helang yang kuat. Namun sebaliknya jika sekarang niatmu sudah salah, tidak khawatirkah kamu bagaimana kelak kamu ingin terbang sebagai helang? Tajdidlah niatmu kerana Allah mula dari sekarang. Susunlah langkah, siap sediakan diri  dan yakinlah nusrah Allah itu pasti akan tiba pada waktunya.  



















     
    




6 June 2016

Madrasah Ramadhan

‘Esok dah masuk bulan puasa.
Apakah aku ingin menyambutnya seperti tahun-tahun yang lalu?
Sekadar melakukan amal ibadah tanpa menghayati dengan hati,
Hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, Ibadah yang dilakukan juga terasa kering, Al-quran yang dibaca semata-mata ingin menghabiskan target bacaan. Sampai bila ramadhanku begini?’

Haziq tersedar daripada lamunannya apabila Fakhrul datang menyapa. Semakin berkurangan orang di kawasan taman rekreasi itu memandangkan hari pun sudah senja.

“Apa yang kau fikirkan ni Haziq?”dia duduk disebelah.
“Fikirkan kau.”selamba Haziq menjawab sambil senyum segaris.
“Kau ni , aku serius ni.”Fakhrul mendesak Haziq.
“Esokkan puasa, so fikir pasal puasalah.” Haziq masih lagi berfikir.
“Hehe. Tak sabar nak puasa. Seminggu ni kita dapat puasa kat rumah masing-masing, lepas tu kita balik KISAS puasa kat sana pulak. Moga Allah berikan kekuatan untuk kita semua menempuh bulan ramadhan yang penuh keberkatan ini.”
“In shaa Allah. Aameen. Jangan lupakan Ramadhan Chart yang kita dapat sebelum cuti haritu.”
“Ouh, yang BADAR edarkan sempena  Ihya’ Ramadhan tu ya? Terima kasih ingatkan.”
Mereka berdua beransur pulang ke rumah masing-masing. Malam itu bermulanya solat terawikh kerana esok sudah berpuasa.
*****

Bagaimana ramadhan kita pada tahun ini?

Berdoalah kepada Allah agar diberi kekuatan dan penghayatan dalam melakukan amal ibadah bagi mendekatkan lagi diri kita dengan Allah.

Cuba cari hikmah dalam setiap amal ibadah yang kita lakukan agar kita tahu kenapa Allah suruh kita buat. Pasti ada hikmahnya.

Walaupun ramadhan kita cuma 29 hari , tetapi ianya menjadi kayu ukur kita sepanjang hayat.

Menjadi kewajipan kepada kita semua sebagai pelajar sekolah agama yang membawa nama Islam untuk mempelajari setiap perkara ini agar kita dapat sampaikan buat ummat Islam diluar sana yang sedang dahagakan ilmu.

Kalau bukan kita , siapa lagi?

Ingin saya mengingatkan diri kita semua, agar tidak menjadikan kemudahan yang Allah berikan sebagai satu fitnah.
Contohnya, gadget yang sedia ada menjadikan diri kita lalai dan lupa dengan al-Quran.

Sibuk membelek handphone sehingga terlupa membelek al-Quran.

Cuba kira berapa kali kita semua membaca mesej di dalam WhatsApp berbanding kita membaca mesej di dalam al-Quran.

Berapa lama kita menghadap handphone berbanding kita menghadap al-Quran.

Berapa pantas tangan kita menscroll skrin handphone berbanding menyelak helaian al-Quran. Allahu akbar.

Andai hati sudah terjentik, ucapkanlah Alhamdulillah.
Andai hati masih keras membatu, ucapkanlah Astaghfirullah. Moga Allah simbah hati itu dengan limpahan hidayah.

"Bukankah bulan Ramadhan adalah bulan yang dikhususkan untuk aku memaknai al-Quran ? Dimana kemuliaan Ramadhan jika tiada kena mengena dengan al-Quran? Bukankah satu-satunya kalimah Ramadhan di dalam al-Quran berkaitan dengan al-Quran dan bukannya berlapar dan dahaga itu matlamatnya."
Ustaz Syaari Ab Rahman 

Sedarlah wahai sahabatku yang aku sayangi kerana Allah !
Boleh jadi ini ramadhan kita yang terakhir , kerana tiada siapa yang boleh  menjamin umur kita untuk Ramadhan pada tahun hadapan melainkan dengan jaminan Allah.

Dan tiada siapa tahu sama ada kita boleh menghabiskan ramadhan pada tahun ini atau hanya separuh jalan sahaja yang Allah izinkan. Allahu a’lam.

Jadi mengapa kita masih mencari alasan untuk mengelak daripada melakukan amal ibadah yang sangat besar ganjarannya.

Gunakanlah Ramadhan kali ini sebaiknya.

Jadikan ia bermakna buat diri kita.

Bersyukurlah kerana kita diberi peluang untuk duduk dan beribadat pada bulan ini.

Niatkan setiap amalan yang kita lakukan kerana Allah.

Istiqamahlah.

Istiqamahlah dalam melakukan sekecil-kecil amalan kerana boleh jadi sekecil-kecil itulah yang menjadi asbab kita ke syurga.

Cuba banyakkan muhasabah diri.

Renung-renungkan,

Selama kita hidup sudah berapa banyak sumbangan kita untuk Islam.

Sejauh mana amal ibadah yang kita lakukan memberi kesan pada hati kita.



Moga bulan ramadhan ini juga kita diberi satu kekuatan yang luar biasa untuk beribadah kepadaNya.

Moga kita semua menjadi Rabbaniyun bukannya Ramadhaniyun , kerana kita semua adalah hamba Allah bukannya hamba Ramadhan.

Moga entry kali ini dapat memberi manfaat buat kita semua. In shaa Allah.

Salam Ramadhan Al-Mubarak .

 

Subscribe to Badar KISAS

Contact us

Email us: badarkisas@gmail.com

Penaung