9 June 2011



Andaikan 3 orang yang berlainan meminjam sebiji pinggan setiap seorang daripada anda.

Selang beberapa hari, peminjam pertama memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan bersih dan cantik seperti sedia kala tanpa sebarang kecacatan. Kita pun menerima dengan senang hati dan meletakkan pinggan tersebut di dalam rak pinggan mangkuk seperti keadaan asalnya.


Manakala peminjam kedua pula memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan yang masih kotor dan tidak dicuci. Jadi, terpaksalah kita basuh sehingga bersih sebelum menyimpannya.


Peminjam ketiga pula memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan yang sudah pecah. Tidak boleh dibezakan lagi bentuknya antara pinggan mahupun serpihan kaca malah tiada nilainya lagi. Maka,kita tidak mempunyai pilihan lain selain membuangnya ke dalam tong sampah.


Jadi, begitu jua halnya dengan Allah Taala. Jika kita kembali kepadanya dalam keadaan yang bersih, elok, tanpa kekotoran dosa, maka Allah akan letakkan kita di tempat baik dan selayaknya bagi kita...iaitu syurga.


Namun, jika kita kembali ke hadratNya dalam keadaan kotor dengan dosa, Allah akan 'basuh' kita sebersihnya di dalam api neraka sebelum memasukkan kita ke dalam syurga.


Tetapi jika kita kembali kepadaNya dalam keadaan yang rosak imannya, sehingga tidak dapat dibezakan lagi antara iman dan kufur, maka Allah tidak teragak-agak untuk menghumbankan kita ke dalam neraka jahannam yang hina buat selamanya (nauzubillah), ibarat pinggan yang pecah dan tidak ada nilainya lagi.


Jadi mari kita berfikir sejenak, manakah pilihan kita untuk kembali kepada Allah. Sudah tentu kita menginginkan seperti yang pertama tadi. Namun, layakkah kita untuk mendapatkannya sedangkan unsur-unsur maksiat, hasad dengki, bibir yang melafazkan kata fitnah dan umpatan kepada saudara sendiri, memberontak dan membenci kebaikan yang dilakukan orang lain masih sebati dengan diri kita dan yang paling utama sekali hati kita kerana hati itu adalah pemandu sikap dan perbuatan kita.


Jadi harapnya kata-kata ini sedikit sebanyak mampu membuka hati kita untuk berfikir dan seterusnya untuk merubah segala cacat-cela pada diri kita sebagai persiapan untuk menemuiNya. Sukalah untuk mengingatkan kembali bahawa "dunia yang fana ini hanyalah tempat untuk kita menanam amalan namun akhiratlah tempat untuk kita menyemai hasilnya." Oleh itu, segala apa yang kita lakukan biarlah semuanya diniatkan lillahi taala. Semoga kita sama-sama memperoleh mardhatillah. wallahualam.

0 kesannya:

Post a Comment

 

Subscribe to Badar KISAS

Contact us

Email us: badarkisas@gmail.com

Penaung