Assalamualaikum w.b.
Kali ini penulis ingin membawa satu kisah yang sememangnya sudah biasa didengari kerana bagi sesiapa yang membaca mana-mana buku sirah Rasulullah S.A.W. maka dia akan dapati kisah ini di dalamnya. Namun begitu, tidak ramai dalam kalangan kita, terutamanya para dai'e mengambil iktibar dari kisah dan nasihat ikon teladan Rasulullah SAW dalam kisah ini, apatah lagi bagi orang yang tidak pernah tahu pun tentang peristiwa ini.
Suatu ketika sebelum hijrah, seperti kebiasaan, Rasulullah akan berehat sebentar setelah selesai solat di kaabah, Masjidil Haram. Tiba-tiba, baginda didatangi oleh seorang sahabat, Khabab bin A'rat. Khabab merupakan salah seorang daripada kalangan sahabat baginda yang teruk menerima seksaan daripada puak musyrikin Quraisy selain Bilal bin Rabah dan keluarga Amar bin Yaser. Beliau sebelum ini bekerja sebagai tukang besi yang membuat senjata di Mekah. Tapi, setelah memeluk Islam, senjatanya sendiri digunakan Musyrikin Quraisy untuk menyeksanya. Dipukul dengan besi panas atau dililit dengan rantai besi yang masih merah membara adalah seksaan biasa selagi mana beliau tidak meninggalkan agama Islam. Pernah suatu ketika beliau "dipanggang" oleh Musyrikin Quraisy sehingga diriwayatkan bara api yang membakarnya terpadam akibat lemak-lemaknya yang cair. Subhanallah..
Ketika Khabab menemui Rasulullah SAW, beliau bertanya kepada baginda mengapa baginda tidak mendoakan kemenangan kepada umat Islam? Mengapa mereka harus menerima seksaan yang begitu pedih daripada musyrikin Quraisy? Sedangkan baginda adalah kekasih Allah Taala, amat mudah bagi Allah Taala untuk memakbulkannya. Kemudian, baginda Rasulullah SAW menjawab, "Kaum sebelum kita ada yang kena tanam dalam tanah hingga ke pinggang, kemudian dia digergaji dari kepala sehingga terbelah dua. Namun mereka masih tetap mentauhidkan Allah Taala. Tetapi kita, hanyalah kaum yang tergesa-gesa".
Nasihat dan motivasi ini secara khususnya memang ditujukan kepada Khabab bin A'rat, tetapi secara umumnya ditujukan kepada seluruh umat Islam sepanjang zaman. Kita sebagai penggerak dakwah seharusnya memiliki kesabaran yang amat tinggi dalam menghadapi kerenah dan cabaran dakwah sama ada daripada mad'u, musuh yang membenci dakwah mahupun kerenah sahabat yang sama-sama berjuang di pihak kita. Apa yang penulis boleh highlightkan di sini mengenai perkataan "tergesa-gesa" yang disebut oleh baginda Rasulullah SAW ialah:
1. Bersabar dengan apa jua cabaran dalam perjalanan dakwah dan tarbiyah. Cabaran yang dimaksudkan di sini ialah semua jenis cabaran sama ada kerenah mad'u, musuh yang membenci dakwah dan tarbiyah, kerenah sahabat sendiri yang mana sama-sama berjuang di pihak kita ataupun masalah yang timbul dari dalam diri kita sendiri.
2. Berfikir dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan. Dai'e perlu tenang dan berfikir dengan matang untuk melakukan apa-apa tindakan dalam proses dakwah dan tarbiyah. Dai'e tidak boleh cepat melatah dan membuta tuli membuat tindakan tanpa memikirkan pro kontra yang akan timbul selepas itu. To do something big we have to think big. Dakwah dan tarbiyah ialah satu perkara yang besear dan memerlukan jangka masa panjang. Sebab itu perjalanan dakwah dan tarbiyah wajib memiliki perancangan yang rapi, strategi yang mantap, dan matlamat yang jelas.
Penulis juga masih mentah dalam gerak kerja dakwah dan tarbiyah dan masih lagi memerlukan banyak bimbingan dan bantuan daripada dai'e-dai'e yang mursyid dan lebih senior dalam perkara ini. Penulis hanya nasihatkan agar sahabat-sahabat yang berada di atas jalan yang sama agar matang dalam dakwah dan tarbiyah dan jangan cepat melatah dalam bertindak.
Wallahua'lam.
0 kesannya:
Post a Comment