17 June 2016

Ikhlaskah Niat Kamu?


Setiap perkara yang kita niatkan kerana Allah, pasti akan diuji sejauh mana keikhlasannya.


Di hening fajar subuh, kelihatan sekelompok manusia yang duduk dalam majlis di mana para malaikat  memohon keampunan baginya, tanpa mereka sedari. Sekiranya mereka benar-benar mengetahui nescaya penuhlah  segenap ruang musolla itu malah  mungkin melimpah hingga ke luar kerana tahu betapa besar ganjaran  duduk dalam majlis ilmu. Namun, tidak ramai yang hadir malah yang hadir itupun bukan semua yang benar-benar sedar.

“Kamu diberikan peluang  untuk kembali semula ke bumi  waqafan ini pun sudah dikira satu nikmat kerana masih ramai insan  diluar sana yang meminta untuk berada di sini namun Allah tetap pilih kamu. Perkara yang ingin sekali ditekankan adalah mengenai niat kamu semua. Niat kamu untuk datang belajar di sini kerana siapa? Jika dahulu masuk ke sini kerana dipaksa atau terpaksa, adakah  sehingga ke saat ini pun mahu menyeksa diri dengan rasa terpaksa itu? Bangunlah wahai pipit sekalian, tajdid niat kamu semata-mata kerana Allah ! Keberadaan kamu disini semata-mata ingin mencari keredhaan Allah.” bergema suara pentazkirah menyedarkan hati-hati yang tidur. Sungguh, ini bukan pentazkirah biasa-biasa, ini luar biasa auranya.

Lelahnya di tengah mujahadah kerana silapnya langkah bermula. Jika kamu melangkah ke bumi ini dengan niat yang salah, maka janganlah kamu menyalahkan sesiapa di saat kamu tak mampu lagi melangkah dan jatuh tersungkur. Memang sengaja Allah biarkan kamu jatuh untuk beri kamu kesedaran bahawa hanya dengan niat semata-mata kerana Allah sahaja yang akan menjadi penguat kamu untuk terus melangkah. Biarpun jatuh kerana tohmahan manusia, biarpun lelah kerana ujian dunia, bangunlah kembali kerana kasih sayang Allah itu memenuhi di sebaliknya. 

Setiap perkara yang kita niatkan kerana Allah, pasti akan diuji sejauh mana keikhlasannya. Dalam usaha kita hendak beramal, nafsu itu akan mengganggu kita dan cuba untuk memudarkan niat kita lantas mencampuradukkan usaha kita dan amalan kita dengan niat yang tidak baik kepada Allah. 
Firman Allah s.w.t.: 

وإن تبدوا ما في أنفسكم او تخفوه يحاسبكم به الله
"Jika kamu menyatakan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu."  (Surah Al-Baqarah : 284) 

Sirah para sahabat ada membuktikan bagaimana seorang hamba Allah yang telah membunuh 99 nyawa manusia diberikan hidayah untuk bertaubat. Hatta digenapkan bilangan itu menjadi 100 nyawa kerana membunuh seorang lagi manusia iaitu seorang rahib yang mengatakan bahawa taubatnya tidak akan diterima Allah. Tekad hatinya untuk bertaubat tidak pernah luntur. Selepas dia mendapat petunjuk daripada seorang yang 'alim, Allah takdirkan dia mati di pertengahan jalan dan diampunkan segala dosanya hanya kerana niatnya untuk bertaubat semata-mata kerana Allah. 

Sekarang tanya kepada diri kita, sejauh mana niat kita untuk bertaubat? Sejauh mana niat kita untuk berubah? Biarkan hati itu menjawab dengan jujur. Sungguh, itu semua hanya Allah yang layak menilai. Apabila niat sudah betul, in shaa Allah jalan itu walaupun payah pada awalnya akan menjadi mudah. Maka, jika benar niatmu ke sini benar-benar ingin belajar kerana Allah, terimalah segala apa yang mendatang dengan hati yang terbuka. Pandanglah di setiap kesulitan itu dengan pandangan yang positif. Perbaikilah diri sedikit demi sedikit kerana kita sendiri tidak tahu dimana usaha kita yang Allah nilai. Dan teruskanlah usaha mengikis karat jahiliyah dalam diri dan hiasinya semula dengan akhlak islamiyah. Cuba hayati pepatah arab ini! 

تحلي قبل تخلي ثم تجلي

Pepatah ini menerangkan bahawa bagaimana seseorang itu perlu mengosongkan dahulu hati dari akhlak yang buruk sebelum menghiasinya dengan akhlak yang baik, nescaya akan tersingkaplah keagungan Allah dalam hatinya. 

Hanya Allah sahaja yang tahu betapa payahnya menelan keperitan. Namun, yakinlah pabila keluar nanti kamu akan menjadi helang yang kuat. Namun sebaliknya jika sekarang niatmu sudah salah, tidak khawatirkah kamu bagaimana kelak kamu ingin terbang sebagai helang? Tajdidlah niatmu kerana Allah mula dari sekarang. Susunlah langkah, siap sediakan diri  dan yakinlah nusrah Allah itu pasti akan tiba pada waktunya.  



















     
    




0 kesannya:

Post a Comment

 

Subscribe to Badar KISAS

Contact us

Email us: badarkisas@gmail.com

Penaung