Assalamualaikum w.b.
Salam Maal Hijrah 1432.
Begitu lama penulis meninggalkan blog ini dan agak lama penulis meninggalkan dunia penulisan. Ini disebabkan oleh beberapa masalah peribadi penulis. Agak kekok untuk kembali mengarang, tetapi inilah hakikat pejuangan seorang daie yang tidak sepatutnya ditinggalkan. Moga-moga kita sama-sama dapat istiqamah, insyaAllah..
Rasanya masih belum terlambat untuk penulis mengucapkan Salam Maal Hijrah 1432 kepada seluruh muslimin dan muslimat. Bersempena Maal Hijrah ini, ingin penulis tegaskan bahawa peristiwa hijrah bukan sejarah yang menjadi bahan bacaan umum semata-mata, tetapi perlu diambil iktibar oleh semua lapisan masyarakat kerana Hijrah merupakan peristiwa terbesar dalam riwayat hidup Rasulullah SAW dan terdapat pelbagai ibrah yang perlu diteladani. Untuk post kali ini penulis bukan ingin menyentuh berkenaan Tokoh Maal Hijrah pada tahun ini, tetapi penulis ingin berkongsi sebuah kisah yang penulis terlepas pandang rasanya kerana penulis rasa kisah ini seperti tidak pernah didengari sebelum ini. Pertama kali penulis dengar adalah dari al-Fadhil Ustaz Zulkifli bin Haji Ismail semasa di Baitul Qurra'. Kali kedua daripada Ustaz Idris semasa penulis bertandang ke kediamannya di Bangi. Kali yang ketiga penulis mendengarnya semasa kuliah Maghrib setelah penulis selamat sampai ke Langkawi. Ketiga-tiga peristiwa berlaku hanya dalam masa sebulan yang lalu.
Kisahnya berkenaan beberapa orang muslim yang beriman kepada Allah dan rasulnya. Mereka ini adalah orang Mekah dan mereka beriman semasa Rasulullah SAW di Mekah lagi. Maksudnya mereka ini pun bukan calang-calang orang kerana sanggup dan berani memeluk Islam sedangkan Islam di Mekah ketika itu masih lemah dan orangnya sedikit. Walau bagaimanapun, iman mereka masih lemah menyebabkan mereka takut untuk berhijrah bersama Rasulullah SAW ke Madinah. Semasa tekanan kian meningkat dan menekan umat Islam di Mekah, Allah memerintahkan supaya umat Islam berhijrah ke Madinah. Tetapi golongan ini enggan kerana lebih takut kepada ancaman Musyrikin Quraisy. Mereka merahsiakan keIslaman mereka dan terus menetap di Mekah.
Semasa tercetusnya perang Badar, golongan ini terpaksa mengikuti pasukan musyrikin Quraisy dalam memerangi pasukan Islam iaitu pasukan yang dianggotai Rasulullah SAW sendiri. Golongan ini telah memerangi Rasulullah secara terang-terangan sedangkan mereka ini Islam. Mereka mendakwa bahawa mereka terpaksa merahsiakan keIslaman mereka dan terpaksa menuruti musrikin Quraisy memerangi pasukan jihad muslimin. Ketika peperangan Badar selesai, ramai dalam kalangan mereka yang terbunuh. Berkatalah kaum muslimin, "Mereka itu adalah orang-orang Islam, tapi dipaksa ikut berperang, haruslah mintakan ampun bagi mereka". Maka turunlah jawapan Allah yang berbunyi,
Semasa tercetusnya perang Badar, golongan ini terpaksa mengikuti pasukan musyrikin Quraisy dalam memerangi pasukan Islam iaitu pasukan yang dianggotai Rasulullah SAW sendiri. Golongan ini telah memerangi Rasulullah secara terang-terangan sedangkan mereka ini Islam. Mereka mendakwa bahawa mereka terpaksa merahsiakan keIslaman mereka dan terpaksa menuruti musrikin Quraisy memerangi pasukan jihad muslimin. Ketika peperangan Badar selesai, ramai dalam kalangan mereka yang terbunuh. Berkatalah kaum muslimin, "Mereka itu adalah orang-orang Islam, tapi dipaksa ikut berperang, haruslah mintakan ampun bagi mereka". Maka turunlah jawapan Allah yang berbunyi,
"Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."
(Surah an-Nisa', 97)
(Surah an-Nisa', 97)
Menurut riwayat Ibnu Mundzir dan Ibnu Jarir, mereka kemudian menulis surat kepada kaum muslimin yang masih ada di Mekah dengan ayat tadi dan tidak ada alasan lagi untuk tidak hijrah. Kemudian mereka hijrah ke Madinah tetapi masih dikejar dan dianiaya oleh kaum musyrikin, akhirnya mereka terpaksa pulang kembali ke Mekah. Maka turunlah ayat 10, surah Al-Ankabut,
"Dan ada sebahagian dari manusia yang berkata: “Kami beriman kepada Allah”; kemudian apabila ia diganggu dan disakiti pada jalan Allah, ia jadikan gangguan manusia itu seperti azab seksa Allah (lalu ia taatkan manusia). Dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu memberi kemenangan kepadamu, mereka sudah tentu akan berkata: “Kami adalah sentiasa bersama-sama kamu”. (Mengapa mereka berdusta?) Bukankah Allah lebih mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati sekalian makhluk?"
(Surah al-Ankabut, 10)
(Surah al-Ankabut, 10)
Ayat ini berkenaan berkenaan peristiwa di atas sebagai teguran Allah SWT terhadap keluhan mereka yang menganggap seksaan yang dialaminya sebagai azab dari Allah SWT.
Inilah peristiwa yang sepatutnya kita renungkan kerana dalam masyarakat kita dewasa ini, ramai yang beralasan terpaksa melakukan maksiat kerana masyarakat sekeliling yang hidup dengan maksiat, terpaksa meninggalkan solat kerana masa kerja yang menghalang, terpaksa bergaul bebas kerana orang sekeliling akan menganggap kita jumud dan ketinggalan zaman jika menutup aurat dan menjaga maruah melalui adab pergaulan. Inilah alasan-alasan yang tidak sepatutnya wujud dan menjadi penghalang untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT kerana dunia ini luas untuk kita mencari peluang. Peluang untuk menjadi baik perlu dicari bukan dinanti..
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
(Surah ar-Ra'du, 11)
(Surah ar-Ra'du, 11)
Sempena Maal Hijrah 1432 ini, jangan kita hanya sambut dengan nyanyian Islamik dan anugerah tokoh Maal Hijrah semata-mata, tetapi kaji dan renunglah sejarah yang penuh dengan hikmah ini. Perjalanan hidup Rasulullah SAW (Sunnah) ini bukanlah satu "nostalgia" sejarah semata-mata, tetapi sebuah ibrah yang menjadi ikon teladan sepanjang zaman.
Wallahua'lam..
Khairul Azry Bin Khir Kamalian
Presiden
Badan Dakwah dan Rohani 2010/2011
Kolej Islam Sultan Alam Shah
0 kesannya:
Post a Comment