BAITULMAQDIS YANG DIJAJAH, —Kementerian Hal Ehwal Agama Palestin menyeru setegas-tegasnya untuk bertindak balas menentang perang internet yang diisytiharkan Israel terhadap kota suci Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa yang dijajah serta menggiatkan usaha melindungi tempat-tempat suci daripada konspirasi Zionis.
Menterinya yang berucap dalam sebuah kenyataan akhbar pada minggu lalu menegaskan pentingnya laman-laman web Zionis yang mencurigakan untuk ditembusi dan ditentang berikutan peranannya dalam mencabar perasaan masyarakat Arab dan Muslim keseluruhannya.
Beliau memberi amaran bahawa wujud kempen Zionis terbaru terhadap kota suci dan lapangan tembok Al-Buraq (tembok ratapan) yang memerlukan kempen internet seumpama itu.
Yayasan untuk Bantuan dan Warisan Al-Aqsa pula menyatakan bahawa beberapa kumpulan Yahudi dan Zionis baru-baru ini melancarkan kempen internet yang bermatlamat mengantarabangsakan dan me’Yahudi’kan tembok Al-Buraq serta menyebarkan maklumat palsu tentang kota suci itu.
Antara kempen tersebut adalah sebuah perkidmatan elektronik terbaru dikenali sebagai warisan tembok ratapan. Perkhidmatan ini memberikan peluang kepada pelayar dari seluruh pelusuk dunia untuk menjalani lawatan virtual dalam terowong-terowong di bawah Masjid Al-Aqsa dan lapangan tembok Al-Buraq, serta mengirimkan doa mereka kepada tembok tersebut.
Yayasan Al-Aqsa menyatakan bahawa kumpulan-kumpulan ini berhajat untuk meluaskan aktiviti elektronik mereka dan melibatkan kawasan-kawasan lain dalam kota suci berkenaan.