30 December 2010

Piala AFF Suzuki: Giliran Malaysia



Assalamualaikum wb.
Salam Kejuaraan.

Semasa agak leka penulis menonton detik-detik kemenangan Malaysia malam semalam, teringat penulis kepada satu Firman Allah SWT yang mampu menjadi pengajaran dan 'ibrah untuk kita semua. Firman Allah SWT,

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendaapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
(Surah Ali-Imran, 140)

Inilah motivasi dari Allah SWT kepada seluruh umat Islam, bukan sahaja khusus kepada Rasulullah dan para sahabat yang mengalami pengalaman perit semasa Perang Uhud, tetapi mampu memberi motivasi kepada umat Islam kini untuk terus berusaha mencapai kemenangan. Malam semalam merupakan giliran Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki, atas usaha K. Rajagopal dan anak buahnya dalam misi menjulang kembali Malaysia dalam dunia bola sepak.

Tahniah kepada pasukan Harimau Malaya..! Penulis sebagai rakyat Malaysia tumpang bangga dan syukur. Semoga pada masa akan datang Allah SWT akan gilirkan kepada kita kemenangan dari aspek yang lain pula seperti akademik, ekonomi, sosial (sahsiah) mahupun politik, dengan syarat para pejuangnya berusaha dan terus istiqamah..

Wallahua'lam..

Khairul Azry Bin Khir Kamalian
Presiden
Badan Dakwah dan Rohani 2010/2011
Kolej Islam Sultan Alam Shah

27 December 2010

....berubah bukan HIPOKRIT...

"Eleh, kau pakai tudung pun bukannya ikhlas. Hipokrit!"

"Bajet baik la konon nak nasihat aku! Munafik la weyh!"

"Eh, sejak bila jadi pak lebai ni? Dah pandai cakap halal haram ni? Munafik betul!"

Sakit telinga mendengar. Sakit lagi dalam hati. Kerana itu, ramai yang tersungkur. Hasrat mahu berubah, terkubur hanya kerana 'suara keldai' ini. Inilah cabaran orang yang mahu berubah. Pasti dia akan terdengar cakap-cakap buruk dari manusia sebangsa dan seagama dengan mereka ini.

Persoalan saya, adakah orang yang mahu berubah itu orang hipokrit?

Tidak! Sama sekali bukan munafik orang yang mahu berubah. Sebaliknya, tindakan untuk berubah itu tindakan orang bijak dan berani. Maka,
izinkan saya menyatakan penghargaan saya kepada anda yang sedang berusaha untuk berubah. Anda seorang wira! Anda seorang pejuang! Dan anda seorang yang cantik di mata Tuhan.

Janganlah berhenti. Dalam banyak tempat dalam Al-Quran, Allah menyatakan bahawa manusia akan diuji. Diuji, dan terus diuji hingga diyakini, siapa yang dalam kalangan kita yang benar-benar 'bulat' hatinya untuk mencari wajah-Nya.

Ujian ini Allah timpakan kepada kita seperti tangga. Selepas kita memanjat satu tangga, kita akan memanjat satu lagi. Kemudian, satu
lagi, dan satu lagi. Hinggalah kita mencapai puncak iaitu wajah redha-Nya. Antara ujian yang paling berat ialah penerimaaan masyarakat, ahli keluarga dan kawan-kawan kita.

Bagi yang lemah, pasti mereka akan berhenti memanjat hanya kerana label munafik atau hipokrit yang diberikan orang. Tuduhan yang
tersangat salah! Saya tertarik dengan satu hadis:

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya: "Bacalah al-Quran dan menangislah, dan jika tidak boleh menangis buat-buatlah menangis" - Hadis riwayat At-Tabrani.

Saya paling tertarik dengan perkataan 'buat-buatlah menagis'. Bukankah pada zahirnya, 'buat-buat' tu bererti berlakon? Adakah kita mahu
menipu Allah?

Tidak. Sama sekali tidak. Sesungguhnya Allah itu Maha Tahu dan Paling Faham akan manusia. Dia tahu, bahawa untuk manusia menjadi hamba yang baik, dia tidak akan dapat terus jadi baik. Dia harus melalui proses yang panjang. Sedikit demi sedikit, perubahan akan berlaku.

Allah tahu segalanya. Dia tahu bahawa kita ada limit atau batasan. Kita tidak akan mampu terus berubah dengan mendadak. Kita hanya akan mampu berubah, sedikit demi sedikit. Kerana itu, Allah tak memberatkan kita dengan 'mesti menangis', sebaliknya Allah sediakan kita
keringanan, jika kita tak mampu, buat-buatlah menangis.

Dengan erti kata lain, jika kita tidak mampu jadi manusia yang terbaik, maka kita latihlah diri menjadi manusia yang baik! Lama-kelamaan, pasti kita akan dapat jadi yang terbaik. Bukankah mentol yang ada pada hari ini adalah hasil daripada ratusan kegagalan Thomas Edison? Saya pasti, kalau Thomas Edison berjiwa kecil, pasti dia akan putus asa apabila dicaci.

Untuk mencapai kesempurnaan iman, jangan takut mencuba menerima cacian.

Kesimpulan

Jangan peduli cakap orang. Bukankah kita mahu berubah kerana Allah? Allah pasti akan suka, jika kita mahu berubah. Cuma syaitan saja yang tak suka. Jadi, rasanya tidak melampau jika saya kata manusia yang menghalang orang buat baik, dia tu macam syaitan. Ada bantahan?

Selepas ini, jika ada lagi orang kata 'kau munafik', maka balaslah, "So what?"

13 December 2010

Maal Hijrah: Sebuah Nostalgia Penuh Ibrah


Assalamualaikum w.b.
Salam Maal Hijrah 1432.

Begitu lama penulis meninggalkan blog ini dan agak lama penulis meninggalkan dunia penulisan. Ini disebabkan oleh beberapa masalah peribadi penulis. Agak kekok untuk kembali mengarang, tetapi inilah hakikat pejuangan seorang daie yang tidak sepatutnya ditinggalkan. Moga-moga kita sama-sama dapat istiqamah, insyaAllah..

Rasanya masih belum terlambat untuk penulis mengucapkan Salam Maal Hijrah 1432 kepada seluruh muslimin dan muslimat. Bersempena Maal Hijrah ini, ingin penulis tegaskan bahawa peristiwa hijrah bukan sejarah yang menjadi bahan bacaan umum semata-mata, tetapi perlu diambil iktibar oleh semua lapisan masyarakat kerana Hijrah merupakan peristiwa terbesar dalam riwayat hidup Rasulullah SAW dan terdapat pelbagai ibrah yang perlu diteladani. Untuk post kali ini penulis bukan ingin menyentuh berkenaan Tokoh Maal Hijrah pada tahun ini, tetapi penulis ingin berkongsi sebuah kisah yang penulis terlepas pandang rasanya kerana penulis rasa kisah ini seperti tidak pernah didengari sebelum ini. Pertama kali penulis dengar adalah dari al-Fadhil Ustaz Zulkifli bin Haji Ismail semasa di Baitul Qurra'. Kali kedua daripada Ustaz Idris semasa penulis bertandang ke kediamannya di Bangi. Kali yang ketiga penulis mendengarnya semasa kuliah Maghrib setelah penulis selamat sampai ke Langkawi. Ketiga-tiga peristiwa berlaku hanya dalam masa sebulan yang lalu.

Kisahnya berkenaan beberapa orang muslim yang beriman kepada Allah dan rasulnya. Mereka ini adalah orang Mekah dan mereka beriman semasa Rasulullah SAW di Mekah lagi. Maksudnya mereka ini pun bukan calang-calang orang kerana sanggup dan berani memeluk Islam sedangkan Islam di Mekah ketika itu masih lemah dan orangnya sedikit. Walau bagaimanapun, iman mereka masih lemah menyebabkan mereka takut untuk berhijrah bersama Rasulullah SAW ke Madinah. Semasa tekanan kian meningkat dan menekan umat Islam di Mekah, Allah memerintahkan supaya umat Islam berhijrah ke Madinah. Tetapi golongan ini enggan kerana lebih takut kepada ancaman Musyrikin Quraisy. Mereka merahsiakan keIslaman mereka dan terus menetap di Mekah.

Semasa tercetusnya perang Badar, golongan ini terpaksa mengikuti pasukan musyrikin Quraisy dalam memerangi pasukan Islam iaitu pasukan yang dianggotai Rasulullah SAW sendiri. Golongan ini telah memerangi Rasulullah secara terang-terangan sedangkan mereka ini Islam. Mereka mendakwa bahawa mereka terpaksa merahsiakan keIslaman mereka dan terpaksa menuruti musrikin Quraisy memerangi pasukan jihad muslimin. Ketika peperangan Badar selesai, ramai dalam kalangan mereka yang terbunuh. Berkatalah kaum muslimin, "Mereka itu adalah orang-orang Islam, tapi dipaksa ikut berperang, haruslah mintakan ampun bagi mereka". Maka turunlah jawapan Allah yang berbunyi,


"Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."
(Surah an-Nisa', 97)

Menurut riwayat Ibnu Mundzir dan Ibnu Jarir, mereka kemudian menulis surat kepada kaum muslimin yang masih ada di Mekah dengan ayat tadi dan tidak ada alasan lagi untuk tidak hijrah. Kemudian mereka hijrah ke Madinah tetapi masih dikejar dan dianiaya oleh kaum musyrikin, akhirnya mereka terpaksa pulang kembali ke Mekah. Maka turunlah ayat 10, surah Al-Ankabut,


"Dan ada sebahagian dari manusia yang berkata: “Kami beriman kepada Allah”; kemudian apabila ia diganggu dan disakiti pada jalan Allah, ia jadikan gangguan manusia itu seperti azab seksa Allah (lalu ia taatkan manusia). Dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu memberi kemenangan kepadamu, mereka sudah tentu akan berkata: “Kami adalah sentiasa bersama-sama kamu”. (Mengapa mereka berdusta?) Bukankah Allah lebih mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati sekalian makhluk?"
(Surah al-Ankabut, 10)

Ayat ini berkenaan berkenaan peristiwa di atas sebagai teguran Allah SWT terhadap keluhan mereka yang menganggap seksaan yang dialaminya sebagai azab dari Allah SWT.

Inilah peristiwa yang sepatutnya kita renungkan kerana dalam masyarakat kita dewasa ini, ramai yang beralasan terpaksa melakukan maksiat kerana masyarakat sekeliling yang hidup dengan maksiat, terpaksa meninggalkan solat kerana masa kerja yang menghalang, terpaksa bergaul bebas kerana orang sekeliling akan menganggap kita jumud dan ketinggalan zaman jika menutup aurat dan menjaga maruah melalui adab pergaulan. Inilah alasan-alasan yang tidak sepatutnya wujud dan menjadi penghalang untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT kerana dunia ini luas untuk kita mencari peluang. Peluang untuk menjadi baik perlu dicari bukan dinanti..


Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
(Surah ar-Ra'du, 11)

Sempena Maal Hijrah 1432 ini, jangan kita hanya sambut dengan nyanyian Islamik dan anugerah tokoh Maal Hijrah semata-mata, tetapi kaji dan renunglah sejarah yang penuh dengan hikmah ini. Perjalanan hidup Rasulullah SAW (Sunnah) ini bukanlah satu "nostalgia" sejarah semata-mata, tetapi sebuah ibrah yang menjadi ikon teladan sepanjang zaman.

Wallahua'lam..

Khairul Azry Bin Khir Kamalian
Presiden
Badan Dakwah dan Rohani 2010/2011
Kolej Islam Sultan Alam Shah

15 September 2010

Puasa Selama 360 Hari...

Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun. (Hadis riwayat Muslim).

Hadis ini menjadi galakan kepada para ulama khususnya dan umat Islam seluruhnya untuk mengamalkan puasa sebanyak enam hari pada bulan Syawal selepas berjaya menempuhi bulan Ramadhan dengan berpuasa sebulan penuh. Amalan berpuasa enam hari pada bulan Syawal juga merupakan salah satu amalan sunat yang sangat dituntut.

Hikmah Dari Segi Kesihatan

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri.

Antaranya :

Puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya, apatah pula amalan masyarakat kita suka mengadakan kenduri pada musim-musim perayaan.

Pada hari raya, ia mencerna pelbagai jenis makanan bermula dari ketupat rendang sehinggalah kepada nasi minyak.


Konsisten

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah SWT, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari.

Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya.



sumber : iluvislam

28 August 2010

universiti ramadhan

"Apabila bulan Ramadhan telah datang, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan."
(Muttafaq 'alaih)

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, sedar tak sedar, Ramadhan sudah amat hampir dengan kita. Alhamdulillah. Ya Allah sampaikan kami ke bulan mulia itu. Amin.

Teruja tidak untuk menghadapi bulan Ramadhan? Sudah tidak sabar-sabar? Jika para sahabat, bulan Ramadhan merupakan suatu bulan yang amat mereka nanti-nantikan. Sebelum hadirnya Ramadhan, mereka sering meminta-minta kepada Allah agar mereka diketemukan dengan Ramadhan yang berikutnya. Seperti do'a yang diajarkan Rasulullah SAW,

“Allaahumma Baarik Lana Fii Rajaba Wa Sya’baana, Wa Ballighna Ramadhaana."

Ertinya: Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami di dalam bulan Rejab dan Sya’ban serta sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan.

Bagi menyambutnya juga, persediaan dari sudut rohani, fizikal dan mental dipersiapkan bagi mengharungi bulan Ramadhan yang peluangnya datang hanya setahun sekali. Seperti lagaknya mahu menyambut satu perayaan besar-besaran, persiapan-persiapan pra-perayaan perlu dilakukan. Pelbagai jenis persiapan akan dilakukan demi memastikan perjalanan pada hari perayaan kelak dapat berjalan dengan lancar dan berjayanya.

Begitu juga dalam kita menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak. Persiapan-persiapan pra-Ramadhan harus kita lakukan sebaiknya. Kita mahu diri kita tenang melaksanakan ibadah-ibadah di dalamnya. Kita mahu latihan diri di bulan Ramadhan dapat kita jalani dengan berjayanya. Dan persediaan yang saya katakan di sini sudah tentu bukan persediaan wang ringgit mahupun materialistik. Persediaan yang dimaksudkan adalah persiapan diri. Itu yang utama.

Cuba anda tanya diri. Tika ini, sudah cukupkah persediaan yang aku lakukan untuk menghadapinya?



Universiti Ramadhan

Dalam kita mempersiapkan diri, pertama, makna Ramadhan itu sendiri harus kita fahami. Ia amat penting agar hadirnya Ramadhan kita hargai, kemudian ketika di dalamnya kita menggunakan peluang yang ada sehabis baik, lantas di hujungnya, moga-moga Ramadhan kali ini menjadi suatu bulan yang penuh makna bagi kita. Menjadikan kita seorang manusia yang lebih baik daripada sebelumnya.

Pelbagai nama digunakan dalam mendefinisikan Ramadhan. 'Bulan keberkatan' (RamadhanAl-Mubarak), 'Bulan Kemuliaan' (Ramadhan Al-Kareem), dan pelbagai lagi.

Di sini, suka untuk saya sentuh dari satu sudut lain, yakni bulan Ramadhan sebagai universiti, atau sekolah. Atau sering kali dipanggil, 'Madrasah Ramadhan'.

Universiti Ramadhan? Apakah? Istilah yang digunakan itu tidak penting mana sebenarnya. Apa yang utama, konsep atau maknanya kita fahami.

Baik. Secara mudah, apa yang manusia perolehi apabila berada di sebuah universiti? Didikan, latihan, pengajaran dan pembelajaran, proses pembentukan insan, seterusnya dan seterusnya. Benar?

Justeru, begitu juga bagaimana seharusnya kita melihat bulan Ramadhan kali ini. Bulan Ramadhan ini hakikatnya adalah 'Bulan Tarbiyah' (Bulan Didikan), yang mana melaluinya, seseorang Muslim itu seharusnya terdidik jiwanya. Terdidik peribadinya.

Bagaimana Ramadhan ini dapat mendidik kita? Sesungguhnya pelbagai didikan yang Allah beri pada kita melalui Ramadhan.

Dengan ibadah puasa sahaja, kita didik untuk mengawal nafsu kita. Kita dididik bukan hanya untuk menahan diri dari makan dan minum. Bahkan, pada masa yang sama, kita turut dididik untuk mengawal nafsu syahwat kita. Ketika berpuasa kita hendaklah menjaga kemaluan, menjaga pandangan mata, hatta menjaga hati kita sekalipun.

Perkara ini ramai yang terlepas pandang. Bulan Ramadhan sebagai satu bulan pendidik nafsu. Sama ada mereka tidak tahu, atau tahu tapi buat tak endah.

"Orang yang berpuasa itu meninggalkan makan, minum dan syahwatnya karena taat pada perintahKu(Allah). Puasa adalah untukKu dan Aku akan memberikan balasannya, sedang sesuatu kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali lipat gandanya."
(HR. Imam Bukhari) -Hadis Qudsi

Tambahan lagi, kita bukan sahaja sekadar dididik untuk memelihara nafsu, malah kita juga dididik untuk menjaga lidah kita. Kenapa lidah? Bak kata cendekiawan, ‘Lidah itu lebih tajam dari pisau’.

Dengan mulut yang celupar, ramai yang akan sakit hati. Melalui tutur kata yang kesat, permusuhan dan pergaduhan dengan mudahnya dapat tercetus. Wah! Bahaya sungguh lidah kita ini ya.

"Apabila pada hari seseorang di antara engkau semua itu berpuasa, maka janganlah ia bercakap-cakap yang kotor dan jangan pula bertengkar. Apabila ia dimaki-maki oleh seseorang atau dilawan bermusuhan, maka hendaklah ia berkata: "Sesungguhnya saya sedang berpuasa."
(Muttafaq 'alaih)

Maka, di bulan Ramadhan ini juga, mari kita latih diri untuk menjaga lidah kita. Memelihara tutur kata kita. Berkatalah menggunakan kata-kata yang baik dan ada manfaat. Jika tidak dapat melakukannya, cukuplah hanya berdiam diri. Ya. Satu perkara yang harus kita pandang serius. Mengapa? Seandainya perintah ini kita abaikan, ditakuti, tidak ada apa-apa yang akan kita peroleh dari puasa kita nanti, melainkan hanya lapar dan dahaga.

Dalam sebuah hadis, "Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan tidak pula meninggalkan berkelakuan dengan dasar dusta, maka tidak ada keperluannya bagi Allah dalam ia meninggalkan makan dan minumnya. Maksudnya: Di waktu berpuasa itu hendaknya meninggalkan hal-hal di atas, agar puasanya tadi mendapat pahala."
(HR. Bukhari)

Ayuh! Siapkan diri kita untuk dilatih.

Banyak lagi didikan-didikan yang mampu kita perolehi dari bulan mulia ini. Ramadhan melatih kita untuk sabar dan tabah tika diuji. Mendidik kita untuk mampu mengawal diri kita. Melatih kita berdisiplin. Mendidik diri kita untuk menjadi hambaNya yang sebenar-benarnya selama 24 jam sehari, 7 hari seminggu.

Mudah kata, didikan rohani dan diri yang diberikan bersifat ‘holistik’.

Hmm.. Namun begitu, adakah semua muslim akan berjaya terdidik dengan didikan-didikan di dalam Ramadhan?

Adakah pasti, diri kita ini akan menjadi seorang insan yang lebih baik selepas melalui bulan Ramadhan?

Semudah itukah?

Bak kata salah seorang pensyarah saya, “I may help you. But if you don’t help yourself, I can’t do anything to help you.”

Benar. Justeru, dalam apa-apa perkara sekalipun, semuanya akan kembali pada diri kita sendiri.

Biar kita ditempatkan di universiti terbaik sekalipun, malah dididik oleh guru yang terhebat, selagi mana kita sendiri tidak mahu terdidik, tidak mahu menyediakan diri untuk perubahan ke arah yang lebih baik, maka semuanya itu hanya akan menjadi sia-sia sahaja.

Bayangkan, ketika berada di dalam universiti, ketika kelas sedang berlangsung, fikiran kita menerawang ke tempat lain. Sewaktu pensyarah sedang mengajar, kita bersembang.Tatkala silibus pelajaran disampaikan, kita tidur. Ataupun, kelas yang diadakan itu sendiri langsung tidak kita hadiri.

Maka apakah proses pendidikan itu dapat berjalan? Jika begitu sikap kita, adakah kita dapat mengambil manfaat dari pelajaran yang dikurniakan?

Sudah tentu tidak!

Maka begitu juga dengan bulan Ramadhan. First rule. Jika kamu tidak mahu membantu diri kamu sendiri, maka kamu tidak akan terbantu.

Justeru amat penting kita menyedari bulan Ramadhan kali ini sebagai satu bulan didikan. Satu bulan tarbiyah. Lantas kemudiannya menyediakan diri kita untuk terdidik dengan dididikan-dididikan Ramadhan.

Mari kita mempersiapkan diri menghadapinya. Mari sama-sama kita pasang niat serta target, mahu menjadi hambaNya yang lebih baik selepas melalui Ramadhan. Dapat menjalankan peranan sebagai hamba sepenuh masa.

Ayuh!

Harapannya, proses didikan ini akan menjadi suatu pengalaman yang amat kita hargai dan merasa syukur, ketika kita melihatnya kembali sewaktu berada di Akhirat kelak. InsyaAllah.

Moga-moga, Ramadhan kali ini penuh makna.

17 August 2010

Perbezaan Pendapat di Sebalik Perlantikan Hakim Syarie Wanita

Baru-baru ini apabila kerajaan telah melantik dua orang hakim wanita yang pertama di negara ini, timbul sedikit keluh-resah di kalangan masyarakat tentang hukumnya - apakah diharuskan atau tidak. Meskipun terdapat fatwa yang telah dikeluarkan olehJawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengenai isu ini, namun ramai yang masih keliru. Ini berkemungkinan kerana keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu tidak dihuraikan dengan terperinci tentang nas-nas dan dalil-dalilnya. Rujukan dalam laman web fatwa berkenaan, didapati penjelasan yang diberi sangat terbatas dan terlalu ringkas iaitu dengan berpegang kepada pandangan dari Mazhab Hanafi yang membenarkan perlantikan hakim wanita dibuat dalam kes-kes yang tidak melibatkan Hudud dan Qisas.

Jika niat kerana Allah, pasti Allah akan menunjuk jalan

Bagi sesiapa yang berpeluang membaca dan mengkaji isu ini, sudah tentu anda akan dapati, banyak penulisan-penulisan yang merumuskan bahawa para fuqaha telah berselisih pendapat mengenai perlantikan hakim wanita ini. Terdapat dua pandangan yang paling popular iaitu pandangan pertama seperti yang dikemukakan oleh Jumhur Fuqaha yang terdiri dari Mazhab Syafii, Maliki dan Hanbali, mereka semuanya menolak perlantikan hakim wanita sekalipun dalam kes-kes yang kesaksian wanita diterima seperti dalam kes yang melibatkan pertikaian harta.

1. Antara hujah-hujah mereka adalah tafsiran kepada ayat al-Quran dalam Surah al-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan.”

Menurut al-Mawardy (al-Ahkam al-Sultaniyyah), lelaki mempunyai kelebihan dari segi akal fikiran sedangkan terdapat kekurangan wanita dari aspek itu.

2. Berdasarkan Hadis:

“Tidak akan berjaya sesuatu kaum yang melantik wanita mengendalikan urusan mereka.” (Sahih Bukhari. Jil. 9)

3. Dalil Aqli: Tugas seseorang Hakim memerlukan ia duduk di antara pihak-pihak yang bertelagah termasuklah dari kalangan lelaki jadi ditakuti akan menimbulkan fitnah.

4. Faktor sejarah: Tiada sebarang riwayat yang menunjukkan Rasulullah s.a.w. dan paraKhulafa al-Rashidin pernah melantik hakim dari kalangan kaum wanita dan ini diikuti oleh pemerintah Islam selepas itu. Jika dibenarkan, sudah tentu akan tercatat di dalam sejarah bahawa pernah dilantik hakim wanita walaupun seorang.

Manakala Mazhab Hanafi pula dikatakan menerima perlantikan hakim wanita di dalam kes-kes yang selain Hudud dan Qisas. Pandangan ini berdasarkan kaedah Qiyas iaitu jika wanita diterima menjadi saksi dalam kes-kes selain Hudud dan Qisas maka dalam kes-kes yang sama wanita juga boleh menjadi Hakim. Dengan kata lain mereka menyamakan tugas memberi kesaksian dengan tugas memberi penghakiman. Hujah ini dikukuhkan dengan ayat al-Quran Surah al-Baqarah: 282, yang membolehkan wanita menjadi saksi dalam keadaan tiada saksi lelaki.

Bagi Mazhab Hanafi, ayat al-Quran yang dihujahkan di dalam Surah al-Nisa’ di atas, hanyalah dikhususkan dalam kepimpinan rumahtangga sahaja dan bukannya mencakupi hal ehwal harta, agama dan urusan amar makruf dan nahi mungkar. Manakala hadis di atas juga ditolak oleh mereka kerana ia menyatakan larangan kepada kaum wanita untuk memegang jawatan pemimpin tertinggi dan bukannya sebagai hakim. Malah ia hanyalah jawapan Rasulullah s.a.w. terhadap persoalan semasa yang dikemukakan oleh para sahabat mengenai tindakan Raja Parsi yang melantik anak perempuannya sebagai pengganti baginda.

Pandangan mazhab Hanafi ini juga telah diterima dan dipersetujui oleh ulamak kontemporari iaitu Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi di dalam bukunya Fatawa Mu’asirah, juz 2. Dan seperti mana yang kita maklum, pandangan Mazhab Hanafi ini juga yang menjadi pegangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Jadikan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan

Benarkah Mazhab Hanafi membenarkan perlantikan hakim wanita

Menurut Tuan Guru Dato’ Haji Salleh Haji Ahmad (bekas pensyarah UM, Ahli Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Fellow Kanan, Kulliyah Undang-Undang UIA) dalam kertas kerjanya bertajuk Hukum Perlantikan Hakim Syarie Wanita yang dibentangkan di Muzakarah anjuran Jabatan Mufti Selangor tahun 2006, menyatakan bahawa paramujtahidin telah ijmak bahawa tidak harus melantik wanita sebagai hakim atau kadi, malah jika pihak berkuasa bertegas mahu melantik juga hakim dari kaum wanita, maka perlantikan itu dianggap sebagai berdosa dan wanita yang menerima perlantikan itu juga berdosa kerana menerima perlantikan yang bertentangan dengan Hukum Syarak.

Bagi Dato Haji Salleh, pandangan yang menyatakan mazhab Hanafi mengharuskan perlantikan hakim wanita sebenarnya adalah “SATU SALAH TANGGAPAN” kerana hakikatnya Mazhab Hanafi juga tidak pernah mengharuskan perlantikan hakim wanita. Punca salah tanggapan ini kerana terdapat satu kenyataan yang dipetik dari kitab al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi karangan al-Marghinani (1936) jld 3, hal. 107 yang bermaksud:

“Harus penghakiman (qadha’) wanita dalam semua perkara kecuali hudud dan Qisas sahaja”

Menurutnya, apa yang dimaksudkan oleh pengarang kitab ini dengan perkataan (penghakiman-al-Qadha’) bukanlah bermaksud mengharuskan melantik hakim wanita secara total kerana perlu dibezakan antara tindakan pemerintah melantik Hakim (al-tauliah wa al-taqlid) dengan perbuatan hakim menjatuhkan hukuman (al-Qadha’). Justeru, apa yang dimaksudkan dengan kenyataan ini adalah tindakan pemerintah untuk melantik hakim wanita tetap dilarang dan berdosa tetapi jika dilantik juga hakim dari kalangan wanita maka hukuman atau keputusan yang dijatuhkan oleh hakim wanita itu tetap dikira sah dan lulus pada kes-kes selain Hudud dan Qisas jika menepati al-Quran dan Sunnah. Menurut Dato’ Hj Salleh lagi dalam tulisannyai:

“Kesimpulannya fuqaha’ dalam Mazhab Hanafi bersatu pendapat dengan mazhab jumhur fuqaha’ tentang hukum haram melantik wanita sebagai hakim dan berdosa raja atau mana-mana pihak berkuasa yang melantiknya. Perbezaannya ialah apakah hukuman wanita itu lulus (boleh dikuatkuasakan) atau tidak? Jumhur Fuqaha’ berpendapat tidak lulus hukumannya sama sekali. Sementara ulama Mazhab Hanafi berpendapat hukuman lulus dengan dua syarat:

i. Hukuman itu hendaklah pada yang lain daripada Hudud dan Qisas;

ii. Hukuman itu hendaklah menepati al-Quran dan al-Sunnah.

Perbahasan mengenai kesilapan memetik pandangan dari Mazhab Hanafi ini juga turut dikupas dengan panjang lebar oleh Dr Muhammad Ra’fat Usman dalam bukunya al-Nizam al-Qadha’I fi al-Fiqh al-Islami.

Jika hujah ini diterima, timbul persoalan, apakah hujah yang digunakan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam melantik hakim wanita ini tepat kerana mengikut pandangan ini Mazhab Hanafi sendiri tidak membenarkan perlantikan Hakim wanita.

Realiti

Dalam satu kertas kerjanya yang bertajuk Hakim Wanita: Suatu Paradoks, Prof Madya Datin Dr Siti Zalikhah Md Noor telah menyatakan tentang kedudukan beberapa Negara Islam yang sudah pun melantik wanita sebagai hakim iaitu Sudan dan Pakistan yang kedua-duanya berpegang kepada Mazhab Hanafi. Manakala Negara Indonesia juga telah lama melantik hakim wanita di dalam Pengadilan Agamanya yang menyamai Mahkamah Syariah di Malaysia. Kajian yang dibuat pada tahun 2004, terdapat lebih ramai hakim wanita di Pengadilan Agama di seluruh Indonesia walaupun mereka berpegang kepada mazhab Syafii. Di Malaysia, para wanita juga telah menjawat jawatan yang penting dalam institusi kehakiman Negara malah sudah ramai peguam syarie, pegawai syariah, pendaftar mahkamah syariah juga dilantik dari kalangan kaum wanita.
Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, kerana, kita yakin sebelum keputusan membenarkan perlantikan hakim wanita ini dibuat, pihak yang berkenaan seperti para mufti dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sendiri telah beberapa kali mengadakan seminar dan wacana mengenai isu ini. Apa yang dipaparkan di sini hanyalah beberapa hujah untuk dikongsi bersama dengan pembaca yang masih ragu-ragu dan keliru dengan situasi yang berlaku.

Pandangan Dato’ Haji Salleh, walaupun mungkin tidak diterima pakai ketika ini, namun kajian tentangnya harus diteruskan kerana ia telah memberi dimensi baru dalam isu ini disokong dengan hujah yang mantap. Apa pun, terserahlah kepada ulul amri untuk menentukan pendapat mana yang sesuai dilaksanakan ketika ini. Walaupun begitu, apa yang pasti, ulul amri juga mempunyai kuasa untuk menerima pakai pandangan yang lain pada masa akan datang jika didapati perlantikan hakim wanita ini bersesuaian dan tidak mendatangkan masalah.

Namun begitu amatlah tidak wajar sama sekali bagi sesetengah orang yang mensifatkan perlantikan hakim wanita di Mahkamah Syariah merupakan satu kejayaan kepada perjuangan memartabatkan kaum wanita di negara ini. Perlantikan seseorang hakim adalah berdasarkan kriteria yang sangat ketat serta mengikut keperluan. Ia bukan kerana perjuangan kaum wanita dan bukan juga kerana untuk memartabatkan wanita tetapi ia kerana adanya nas-nas dan pandangan yang jelas bersumberkan al-Quran dan Sunnahyang membenarkannya.

*Penulisan ini hanyalah sekadar ulasan ringkas dan tafsiran bebas penulis terhadap makalah-makalah seperti di bawah:

1. Kriteria Perlantikan Hakim Syarie Wanita (Dato’ Syeikh Hj Ghazali Abd Rahman-Mantan Ketua Hakim Syarie Malaysia) JH Mac 2007

2. Hakim Wanita: Satu Paradoks ( Prof Madya Datin Dr. Siti Zalikhah Md Noor-Pensyarah Jabatan Syariah UKM) JH Jun 2007

3. Hukum Perlantikan Hakim Syarie Wanita (Dato’ Hj Md Salleh Hj Ahmad-Fellow kanan Kulliyah Undang-Undang UIA dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Selangor) JH September 2007

Rujukan tambahan:

1. Dr Muhammad Ra’fat Usman, al-nizam al-Qadha’I fi al-Fiqh al-Islamy

2. Dr Abdul Karim Zaidan, Nidzam al-Qaha’ Fi al-Syariat al-Islamiyah

Sumber asal daripada al-Wakalah

14 August 2010

Mari Memaksimumkan Bonus Ramadhan


Bagi memastikan sempurnanya puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Bersahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana).

Nabi SAW bersabda :

"Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur." (Riwayat Muslim)

"Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda SAW juga menyebutkan bahawa malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad)

Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan Solat Sunat Tahajjud, Solat Sunat Witir dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan Solat Subuh berjemaah (bagi lelaki). Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh baginda SAW.

3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.

Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca Al-Quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadis dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail a.s. Hal ini disebut di dalam hadis al-Bukhari.

4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.

Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaimana di tegaskan oleh Nabi SAW :-
Ertinya : "Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar)

Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-
Ertinya : “Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" (Riwayat At-Tirmizi)

5) Memperbanyakan doa ketika hampir berbuka.

Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadis Nabi SAW :-
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak." (Riwayat Ibn Majah)

6) Menyegerakan berbuka puasa selepas pasti masuk waktu maghrib.

Berdasarkan hadis Nabi SAW :-
Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang kamu menyegerakan berbuka" (Riwayat Al-Bukhari)

Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan Solat Maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar perlu agar kelaparan tidak mengganggu Solat Magrhib kita. Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan Solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air.
(Abu Ya'la dan al-Bazzar)

7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab (kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air. Ertinya : “Rasulullah SAW berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rutab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air".

8) Amat disunatkan untuk sedekah harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin.

Nabi SAW bersabda :-
Ertinya : “Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" (Riwayat At-Tirmidzi) Disebut dalam sebuah hadis lain, Ertinya : “Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa (berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga" (Riwayat Al-Baihaqi)

9) Menunaikan Solat Sunat Terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian.

Ia berdasarkan hadis riwayat An-Nasaie yang sohih. Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.

10) Memperbanyakkan bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari Riwayat al-Bukhari.

11) Amaran bagi berbuka di siang Ramadhan tanpa uzur.

Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Bulan Ramadhan, maka ia tidak mampu menggantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)


30 July 2010

65 tahun hidup hanya 2 tahun amal ibadat yang kita bawa?



Mari kita buat kiraan ringkas tentang ibadat solat kita.

Isyak, Subuh, Zohor, Asar dan Maghrib

Solat 1 waktu = lebih kurang 10 minit (anggaran kasar)

Sehari 5 waktu x 10 minit = 50 minit (anggaran kasar 1 jam ibadat solat sehari)

Maka setahun bersamaan 360 jam jangka masa kita solat.

Katakanlah purata usia seseorang 65 tahun.

65 tahun x 360 jam = 23400 jam ibadat solat dalam tempoh 65 tahun.


Mari kita teruskan mengira.

23400 jam bersamaan 2.7 tahun (2 tahun setengah).

Kiraan ini termasuk waktu sebelum baligh iaitu dari umur 1 tahun hingga 15 tahun.

Kalau tolak 15 tahun sebelum baligh tinggal 50 tahun bukan.?

50 tahun = 18000 jam ibadat solat yang kita lakukan 5 waktu sehari.

Jadi selama 50 tahun hidup, keseluruhan ibadat solat yang kita lakukan ialah 2 tahun.

(itupun kalau jaga solat).

Mari kita renungkan.

Selama 65 tahun hidup, akhirnya kita kembali menghadap Allah s.w.t dengan membawa amalan selama 2 tahun?

Cukupkah?

Rasanya berpuas hatikah kita nak bertemu dengan Allah s.w.t dalam keadaan sekarang?

Sedangkan masa hidup kita banyak tersia dengan mengejar dunia semata.

Perkiraan di atas sekadar renungan buat kita semua agar jangan berasa cukup dengan amalan yang kita ada. Kita risau amalan baik yang kita lakukan masih belum cukup untuk mengatasi kejahatan yang sering kita lakukan samada dalam sedar atau tidak.


Marilah sama-sama kita bermuhasabah.

Jagalah solat kita kerana amalan solatlah yang pertama akan dihisab kelak

Jangan kerana kita masih melakukan maksiat dan kemungkaran kita tidak solat. Solat itu ada keberkatannya. Mudah-mudahan dengan solat yang ikhlas kerana Allah s.w.t kita dijauhkan dari melakukan maksiat dan kemungkaran yang sudah pasti setiap muslim ingin menghindarinya.

Dari saat ini dan ketika ini semarakkan dalam hati untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Perkara-perkara maksiat cuba dijauhkan. Perkara-perkara haram tinggalkan dan jangan toleh ke belakang lagi. InsyaAllah terdetik niat di dalam hati kita untuk berubah kearah kebaikan, Allah pasti tidak biarkan kita dalam kesesatan. Janganlah lakukan lagi perkara-perkara mungkar yang mengundang kemurkaan Allah s.w.t. terhadap kita umat akhir zaman ini.


Mahukah Allah murka sehinggakan biar kita dalam kesesatan?

Kesesatan dengan keseronokan dunia. Masing-masing sibuk mencari hiburan dan keseronokan dunia semata. Kesesatan dengan pangkat dan darjat. Bangga, meninggi diri dan membeza-bezakan darjat dan pangkat sesama insan. Kesesatan dengan kemewahan dunia. Lupa akan kesusahan orang lain dan leka mengejar kemewahan dan keseronokan dunia semata.


Apa maknanya kita kecapi segalanya di dunia ini tanpa keredhaan Allah s.w.t.?

Bersyukurlah pada-Nya kerana kita di antara insan yang terpilih untuk memahami Islam.

Kita insan-insan terpilih untuk terus mencari ilmu Islam. Dengan ilmu yang ada, bersama kita beramal di samping membimbing orang sekeliling kita bersama mencari keredhaan Allah s.w.t.

Mari bersama tingkatkan amalan kita dari masa ke semasa. Buatlah yang terbaik selagi mana Allah s.w.t beri peluang hidup di dunia ini. Janganlah kita leka dan lalai lagi. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan mereka-mereka yang sesat dan dalam kerugian.


sumber : http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=2793

Fadhilat & Peristiwa di Bulan Syaaban

REJAB sudah berlalu. Kini Syaaban tiba. Lambaian Ramadan sebulan lagi. Kita belum terlambat untuk menceriakan hidup dengan keberkatan Syaaban.


bulan islam



Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili ra, berkata: Rasulullah bersabda, "Apabila masuk bulan Syaaban, (cerialah) dan sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."

Kita munajat dan berdoa seperti doa Rasulullah ketika masuknya Rejab:

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغّنا رمضان

"Allahuma Bariklana fi rajab wa syaaban wa ballighna Ramadan"

Maksudnya: "Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan."

Inilah doa tiga serangkai yang memadukan kemuliaan ketiga-tiga bulan yang sangat berkat ini. Tiga bulan inilah bulan medan perjuangan pejuang untuk membina jati diri, membentuk sahsiah dan memupuk kebersihan hati.

Selari dengan erti Syaaban iaitu berpecah-pecah atau berpuak-puak. Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir. Rasulullah mengekalkan nama Syaaban sehinggalah sekarang.


Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya.

Diantara hadis yang paling masyhur ialah: Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya, "Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?" Para sahabat menjawab, "Allah dan RasulNya lebih mengetahui." Sabda Rasulullah SAW, "Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali." (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).


FADHILAT SYAABAN


Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:

  • Memperbanyakkan puasa sunat

Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

  • Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah SAW
Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)

  • Bertaubat
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."


PERISTIWA-PERISTIWA PENTING BULAN SYAABAN


1. Malam Nisfu Syaaban

Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : "Telah datang Jibril as pada malam Nisfu Syaaban dan dia berkata, Ya Muhammad, pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua tanganmu ke langit!" Kata saya (Nabi Muhammad SAW): "Hai Jibril, apakah erti malam ini ?" Dia (Jibril) menjawab: "Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan/pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu."

Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan sembahyang serta menangis di dalam sujudnya dengan membaca : "Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji kepadaMu sendiri, maka segala puji bagiMu sehingga Engkau redha." Dipetik dari Kitab Zubdatul Wa’idzin.


2. Penukaran Arah Kiblat

Pada awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontraversi pada waktu itu. Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis.

Umat Islam telah ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat RA telah mengadu kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menyuruh mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru dari Allah SWT. Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang berlaku pada ketika itu. Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW mengadap ke Baitullah Kaabah.

Sebahagian ulama sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat. Sebahagian ulamak mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya’.Rasulullah SAW sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum.


3. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi’)

Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi. Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madhinah. Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.

Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq. Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.

Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya. Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah. Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam dan Bani Mustaliq. Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.



Begitu besarnya fadhilat bulan Syaaban. Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan ini untuk mengimarahkannya.


Aduhai Muslimah...Jangan Mudah Tertipu

Bismillah…Alhamdulillah…

Ilmu ditadah dibuat acuan agar mendatangkan manfaat bersama. Ingin diri ini menyedarkan muslimah di luar sana. Hati ini tergerak untuk mencoretkan bait-bait peringatan bersama setelah membaca salah satu majalah yang menceritakan mengenai hal ini.

Duhai muslimah...
Jangan mudah tertipu, bukan tertipu dengan lelaki ajnabi seperti yang kebiasaannya diuar-uarkan. Tapi...tolong jangan mudah tertipu dengan keindahan pelbagai warna dalam berpakaian yang hebat dipertontonkan di luar sana. Apa ertinya busana muslimah? Adakah maksudnya tudung-tudung yang berjenama artis-artis terkenal di Malaysia?



Lihatlah akhbar, tidak kurang juga majalah. Busana muslimah dan bermacam-macam fesyen di luar sana yang dikatakan sebagai sesuai untuk muslimah kerana selamat dan menutup aurat. Kebanyakannya tidak menepati syarak dan hanya melanggar apa yang dikatakan sebagai tabarruj.

Serius…
Hati saya sebagai muslimah turut tertarik dan teruja tapi sayangnya ia hanyalah busana dan tidak sesuai untuk muslimah. Kenapa? Bukan semua busana muslimah yang cantik dan menarik ini menepati hukum syarak. Kita dikaburi dengan mainan warna yang indah dan seterusnya menjerat hawa nafsu untuk membeli. Dan nawaitu memakainya juga mungkin akan berubah sama sekali.

Firman Allah:

“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.”

[Al-A’raaf ayat 26]

Tudung sepatutnya dipakai untuk menutup rambut. Tetapi malangnya, tudung dipakai di atas paras dada. Ini tidak menjadi hal utama bagi muslimah sekarang, asalkan rambut dapat ditutup mengikut syarat dan yang paling penting adalah menarik. Wanita itu sendiri sudah semestinya punyai daya tarikan tetapi mereka telah ditipu dengan fesyen-fesyen yang akan membawa kepada daya tarikan yang lebih. Persoalannya, kita mahu menarik perhatian siapa? Siapakah insan-insan yang layak melihat keindahan perhiasan-perhiasan ini?

Firman Allah:

Katakanlah kepada wanita yang beriman:
"Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertobatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”
[Surah an-Nur ayat 31]

Apa ertinya bagi seorang muslimah, andai dia hanya mampu menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, tetapi faktor utama iaitu perhiasannya sendiri dengan mudah dipertontonkan. Bukankah ia tidak sempurna malahan mencacatkan penampilan? Saya tidak mengatakan saya lebih baik. Ini hanyalah sedikit kata-kata peringatan kepada saya dan untuk semua muslima yang dikasihi Allah di luar sana. Kita adalah perhiasan, tetapi pilihan untuk menjadi perhiasan terindah terletak pada diri sendiri. Sama ada ingin menjadi perhiasan yang mahal dan berharga tetapi tidak menarik perhatian dan tidak mudah dibawa mahupun disentuh ataupun perhiasan yang mudah dibawa ke mana-mana, mudah pula dipegang dan disentuh tidak kira masa serta mudah juga menjadi santapan pandangan yang tidak berhak.

Duhai muslimah…
Sekalipun insan sekeliling mengakui keburukanmu sekalipun, telah terlitup indah auratmu mengikut syarak dengan warna yang buruk. Namun andai ia lebih mendapat redha Allah, inilah pilihan untukmu yang terbaik. Namun diri hina ini juga tidak mampu untuk menghalang keinginan dan kebebasan dalam mempertontonkan perhiasan-perhiasan kalian. Ingatlah, cantiknya seorang isteri, layaknya hanya di mata suami. Cantiknya seorang puteri, layaknya hanya pada pandangan ibu bapa untuk menjaga dan memelihara dirinya sebelum dimiliki. Seorang muslimah itu tinggi martabatnya dalam Islam. Semoga penghargaan dari Allah ini akan kekal bertahan dan tidak mudah rebah menyembah bumi. Sedarlah sebelum semuanya terlambat.

Selamat beramal…




“Wahai Allah…Wahai Allah yg kami sembah, Wahai Allah…Pada-Mu satu-satunya tempat pergantungan hati kami…Engkaulah Rabb yg Maha Pemurah dan Pengasih, Maha Perkasa dan Maha Suci Engkaulah yang mampu menetapkan hati-hati kami di jalan yg Engkau redhai…Ya Allah, permudahkan bagi kami istiqamah di dalam amalan kami…dan matikan hati-hati kami dalam mencintai dunia yg melalaikan…

Amin Ya Allah.AMin ya Rabbal A’lamin.”


sumber : http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=2798

25 July 2010

HUKUM PUASA SELEPAS NISFU SYA'BAN


Masih ramai kalangan awam yang keliru dengan hukum berpuasa selepas hari Nishfu Sya'baan (hari 15 Sya'baan). Ramai yang tidak tahu bahawa menurut qawl yang mu'tamad dalam Mazhab Syafi`i hukum berpuasa selepas Nishfu Sya'baan adalah HARAM DAN TIDAK SAH dengan beberapa pengecualian yang akan datang penjelasannya. Kekeliruan mungkin disebabkan mazhab-mazhab lain mempunyai pendapat yang berbeza dengan Mazhab Syafi`i berdasarkan kepada ijtihad mereka. Ulama Syafi`i mengistinbathkan pengharaman berpuasa tersebut berdasarkan beberapa dalil termasuklah hadits-hadits Junjungan Nabi SAW. Antaranya apa yang diriwayatkan dalam "Sunan at-Tirmidzi", juzuk 2, halaman 183, bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda sebagai berikut:-
"Telah diberitakan kepada kami oleh Qutaibah, telah diberitakan kepada kami oleh 'Abdul 'Aziiz bin Muhammad, daripada al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman, daripada ayahnya, daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. yang telah berkata: Telah bersabda Junjungan Rasulullah SAW:"Apabila tinggal baki separuh dari bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa". Dan telah berkata Abu `Isa (yakni Imam at-Tirmidzi): "Hadits Abu Hurairah ini adalah hadits hasan shohih dan tiada kami ketahui akan dia melainkan dengan wajah (riwayat) ini atas lafaz ini.
Selain daripada hadits di atas, Imam Abu Daud turut meriwayatkan dalam sunannya sebagai berikut:-
Daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawasanya Junjungan Rasulullah SAW bersabda: "Apabila masuk separuh bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa."
Imam ash-Shan`ani dalam "Subulus Salam" juzuk 2, halaman 345 menyatakan bahawa hadits ini adalah hasan shohih di sisi para muhadditsin selain Imam Ahmad. Imam Ahmad mendhoifkannya kerana bagi Imam Ahmad perawi yang bernama al-'Alaa` bin `Abdur Rahman adalah perawi yang dhoif. Menurut kajian Imam ash-Shan`aani, pendapat Imam Ahmad tersebut adalah tidak tepat kerana al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman adalah seorang perawi yang hadits-hadits yang diriwayatkannya diambil oleh Imam Muslim dan selanjutnya Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani dalam "at-Taqrib" menghukumkan al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman ini sebagai seorang perawi yang shaduuq (benar atau kepercayaan).

Sungguhpun dihukumkan haram, tetapi pengharaman berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan ini tidaklah mutlak seperti pengharaman berpuasa pada 5 hari yang diharamkan secara mutlak berpuasa, iaitu 2 hari raya dan 3 hari tasyriq. Pengharaman berpuasa pada hari-hari nishfu kedua Sya'baan dan hari Syak tidaklah mutlak kerana ianya mempunyai pengecualian. Maka hukum HARAM DAN TIDAK SAH puasa yang dilakukan selepas nishfu Sya'baan (iaitu selepas tanggal 15 Sya'baan) mempunyaiPENGECUALIAN seperti berikut:-

1. puasa sunnat tersebut disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari yang berada di nishfu pertama (separuh pertama) bulan Sya'baan walaupun dengan hanya satu hari sahaja (yakni dihubungkan dengan berpuasa pada hari 15 Sya'baan) dengan syarat ianya hendaklah berterusan sehingga Ramadhan, jika terputus walaupun dengan uzur maka tidaklah boleh disambung lagi puasa tersebut. Contohnya, jika seseorang berpuasa sunnat pada 15 Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada 16 Sya'baan dan hari-hari berikutnya. Tetapi katakanlah setelah berpuasa pada 15, 16, 17 dan 18 Sya'baan, dia tidak berpuasa pada 19 Sya'baan, dengan atau tanpa uzur, maka tidaklah boleh lagi dia berpuasa sunnat pada 20 Sya'baan dan hari-hari yang berikutnya sehinggalah Ramadhan.

2. puasa sunnat tersebut telah menjadi amalan biasa seseorang (yakni yang telah dijadikan wirid kebiasaannya). Contohnya, seseorang yang telah mewiridkan puasa pada setiap Isnin, maka tidaklah jadi halangan untuk dia meneruskan wiridnya itu.

3. puasa qadha` samada qadha puasa fardhu atau qadha puasa sunnat yang berwaktu

4. puasa kaffarah atau puasa nazar dengan syarat ianya tidak dilakukan dengan sengaja dan dengan tahu yang hari yang dinazarkan itu adalah hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan.Misalnya, seseorang bernazar hendak berpuasa pada hari Khamis minggu hadapan tanpa menyedari bahawa Khamis hadapannya sudah masuk dalam nishfu kedua Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada Khamis tersebut. Maka jika sekiranya dia tahu yang Khamis tersebut adalah dalam nishfu kedua bulan Sya'baan, maka tidaklah boleh dia berpuasa dan tidaklah sah nazarnya itu.

Inilah perincian hukum bagi puasa yang dilaksanakan setelah nishfu Sya'baan menurut Mazhab Syafi`i yang menjadi pegangan kita, sebagaimana yang tersebut dalam kitab-kitab fiqhnya. Antaranya dalam "Anwarul Masaalik syarah 'Umdatis Saalik wa 'Uddatin Naasik" karya Syaikh Muhammad az-Zuhri al-Ghumrawi rahimahUllah yang menyatakan pada halaman 125 seperti berikut:-

(Dan haram berpuasa [sunnat] pada hari-hari selepas nishfu Sya'baan, jika sekiranya puasa tersebut tidak berbetulan dengan adat kebiasaan seseorang) sebagaimana yang telah disebut terdahulu ketika perbincangan tentang hari Syak, (dan [puasa tersebut] tidak berhubung / bersambung dengan hari yang sebelumnya) iaitu tidak bersambung puasa pada nishfu yang kedua [bulan Sya'baan] dengan berpuasa pada separuh yang pertama bulan tersebut. Maka jika sekiranya puasa tersebut berbetulan dengan adat kebiasaan baginya atau dihubungkan [dengan hari-hari separuh pertama Sya'baan], sahlah puasa tersebut dan hilanglah keharamannya.


Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahUllah menulis dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah", jilid 2 halaman 82, sebagai berikut:-




Dan daripadanya [yakni daripada hadits-hadits berkaitan dengan] puasa dalam bulan Sya'baan, ialah hadits Sayyidatina 'Aisyah r.`anha yang menyatakan: "Tidak aku melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh, melainkan bulan Ramadhan dan tiada aku melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya'baan", hadits diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, dan keduanya meriwayatkan juga hadits lain dengan kata-kata: "Tiada baginda berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Sya'baan, bahawasanya baginda berpuasa pada keseluruhan bulan Sya'baan", dan bagi Imam Muslim terdapat satu lagi riwayat dengan kata-kata:- "Adalah baginda berpuasa pada bulan Sya'baan keseluruhannya kecuali sedikit.".......... Kemudian hadits-hadits tersebut tidaklah menafikan hadits yang mengharamkan puasa pada hari-hari selepas nishfu bulan Sya'baan, kerana berlakunya pengharaman tersebut ialah kepada sesiapa yang hanya berpuasa selepas nishfu tersebut dan tidak menghubungkan puasanya [dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan (yakni hari 15 Sya'baan)]. Manakala berlakunya keharusan (baca: boleh / jaiz) berpuasa, bahkan sunnat berpuasa, ialah kepada sesiapa yang berpuasa sebelum nishfu lagi dan meninggalkan berpuasa selepasnya [yakni dia berpuasa sunnat pada nishfu pertama bulan Sya'baan dan berhenti setelah nishfunya tersebut]; ATAU dia meneruskan puasanya dengan menghubungkan puasanya itu dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan [yakni hari 15 Sya'baan]; ATAU dia tidak menghubungkan puasanya, akan tetapi puasanya pada hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan tersebut ialah puasa kerana qadha` atau puasa nazar atau puasa yang menjadi wiridnya (kebiasaannya). Dan hadits yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam at-Tirmidzi, Imam an-Nasai dan Imam Ibnu Majah, iaitu:"Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa sehingga menjelang Ramadhan", adalah jelas pada yang demikan (yakni pada menyatakan haramnya berpuasa pada hari-hari selepas Nishfu Sya'baan).


Murid Imam Ibnu Hajar rahimahUllah, iaitu Syaikh Zainuddin bin 'Abdul 'Aziz al-Malibari, rahimahUllah, menulis dalam karya beliau "Fathul Mu`in"pada halaman 60:-



(Tatimmah) Haram puasa pada hari-hari tasyriq ......., dan demikian pula haram puasa selepas Nishfu Sya'baan, selagi mana ianya tidak berhubung / bersambung dengan hari sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan] atau jika puasa tersebut tidak muwafaqah dengan adatnya (yakni tidak berbetulan dengan kebiasaannya atau wiridnya); atau jika puasa tersebut bukan puasa nazar atau puasa qadha` walaupun hanya qadha` puasa sunnat.


Penjelasan 'Allaamah Sayyid Muhammad 'Abdullah al-Jurdani dalam "Fathul 'Allam" juzuk 4, halaman 152- 153, pula adalah seperti berikut:-


Dan haram puasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan, melainkan jika ianya disambung / dihubungkan dengan hari yang sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan], walaupun hanya satu hari [yakni walaupun dengan hanya berpuasa pada 15 Sya'baan sahaja] dan hendaklah berkekalan puasa tersebut sehingga ke akhirnya. Maka jika tidak berkekalan, bahkan jika berbuka (yakni tidak berpuasa) dengan uzur sekalipun, tertegahlah atasnya untuk berpuasa lagi dengan tanpa sebab.


Inilah khulasah hukum berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan. Harap kita sebagai pengamal Mazhab Syafi`i dapat beri perhatian sewajarnya. Allahlah yang Maha Mengetahui.

Sumber : Bahrusshofa

Bacaan Tambahan :

1. Puasa Sunat Bulan Sya'ban (Isu-isu Hukum Mengenainya) Bab 1

2. Puasa Sunat Bulan Sya'ban (Isu-isu Hukum Mengenainya) Bab 2


3. Puasa Sunat Bulan Sya'ban (Isu-isu Hukum Mengenainya) Bab Akhir

 

Subscribe to Badar KISAS

Contact us

Email us: badarkisas@gmail.com

Penaung