26 February 2011

Tarbiyah: Antara Kepelbagaian dan Kesatuan


Assalamualaikum w.b.
Salam Tarbiyah 1432.

Setelah sekian lama penulis tidak "berceloteh" dalam laman ini, terasa amat banyak perkara dan pengalaman yang ingin dikongsi. Berkenaan kemasukan adik-adik Tingkatan 4 baru-baru ini, penulis selaku salah seorang warga Kolej Islam amat berbesar hati dan mengalu-alukan kedatangan adik-adik. Moga-moga Generasi 57 kali ini dapat meneruskan tradisi kejayaan Kolej Islam dalam melahirkan "ikon-ikon" hebat Mukmin Profesional yang mampu membimbing masyarakat masa kini.

Teringat penulis kepada Firman Allah SWT:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(Al-Hujurat, 13)

Bersempena keunikan Kolej Islam yang pelajar malah gurunya yang berasal dari pelbagai jenis negeri. Maka tidak hairanlah masing-masing memiliki loghat dan sikap yang tersendiri. Namun, kehebatan tarbiyah dan biah (suasana) Kolej Islam serta bantuan dan keberkatan Allah Taala, maka masyarakat Kolej Islam mampu bersatu dan bekejasama atas dasar Iman dan Taqwa kepada Allah Taala. Syaratnya, setiap individu haruslah kembali kepada seruan Allah Taala supaya merendahkan ego dan melapangkan dada dalam berkenal-kenalan dan bekerjasama dengan mengenepikan perbezaan fizikal dan material, tetapi bersatu atas dasar Iman dan Islam.

Inilah kekuatan sebenar umat Islam seperti mana pada zaman Rasulullah SAW, ketika mana baginda berusaha menyatukan puak A'us dan Khazraj yang berperang dan bergaduh selama ratusan tahun. Baginda melihat bahawa tiada kekuatan lain melainkan perpaduan walaupun mereka terdiri daripada puak, bangsa dan keturunan yang berbeza. Pernah suatu ketika seorang Yahudi mencetuskan huru-hara ketika mana dia hasad dengki melihat A'us dan Khazraj yang sudah akrab setelah kedatangan Rasulullah SAW. Beliau telah mengingatkan kembali peristiwa Bu'ats yakni peperangan antara A'us dan Khazraj yang pernah berlaku semasa jahiliyah dahulu. Kemudian mereka mula kembali bertengkar dan ada riwayat menceritakan bahawa terdapat salah seorang dari mereka mula lompat ke atas meja dan meninggikan suara dalam mempetahankan puak mereka. Setelah baginda mendapat tahu, baginda terus menegur mereka dan mereka mula tunduk malu dan menyesal. Turunlah firman Allah Taala:
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.
(Ali Imran, 103)

Tradisi Kolej Islam yang sentiasa berpegang teguh dan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah dalam apa jua aktiviti harian, menjadikan Kolej Islam terus diberkati malah sentiasa mendapat campur tangan Allah (bantuan Allah) dalam menghadapi apa jua bencana. Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) amat menitik beratkan kesatuan dalam masyarakat Kolej Islam terutamanya dalam kalangan pelajar supaya kekuatan dan keberkatan Bumi Waqafan terus berkekalan. BADAR juga menyedari bahawa tiada kesatuan yang lebih hebat melainkan kesatuan dalam menegakkan Iman. Antara pendekatan yang diambil adalah dengan meneruskan tradisi ilmu melalui institusi usrah, tazkirah, kuliah maghrib, risalah dan sebagainya. Selain itu, setiap individu haruslah menyedari bahawa kita kita sebagai hamba Allah Taala wajib merasai persamaan antara kita dan tiada mana-mana pihak yang darjatnya lebih tinggi menyebabkan meraka merasakan diri mereka lebih hebat dari yang lain. Ingatan dari Allah SWT:
Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
(An-Nisa, 1)

Ingatlah bahawa walau apa pun diri kita sekarang kita hanya bermula dari satu dan sememangnya tiada perbezaan antara kita selagi mana kita terikat dengan kalimah Taqwa. Selari dengan Allah Taala Tuhan yang mana langit dan bumi di tanganNya, warga Kolej Islam perlu berganding bahu membina kesatuan antara kita bagi menjayakan gagasan yang dibawa sendiri oleh Allah Taala dan Rasulnya.

Penulis amat mengharapkan agar kita mampu meleburkan keegoan dan semangat kenegerian antara kita bagi melaksanakan gagasan ini. Semoga keberkatan dan bantuan Allah sentiasa bersama Kolej Islam dalam apa jua keadaan dan berterusan dari generasi ke generasi, insyaAllah.. Sekali penulis ingin mengucapkan Selamat Datang, Ahlan Wa Sahlan kepada adik-adik baru Kolej Islam yang kini sudah hampir 3 minggu berada di Kolej Islam. Untuk makluman semua, kita juga sedang menanti kedatangan pelajar Ambilan Kedua yang akan berdaftar Isnin ini, 28 Feb 2011. "Kedatanganmu Dirai, Kehebatanmu Dinanti".

Wallahua'lam..
Khairul Azry bin Khir Kamalian
Presiden
Badan Dakwah dan Rohani 2010/2011
Kolej Islam Sultan Alam Shah SBT

1 kesannya:

  1. Salam, ahsanta. Tulisan yang baik. Sampaikan salam ana pada semua exco badar. Anhar bin Opir (KISAS 92-95)

    Lawat http://hjanhar.blogspot.com

    ReplyDelete

 

Subscribe to Badar KISAS

Contact us

Email us: badarkisas@gmail.com

Penaung