16 July 2010

Syaaban bayangan Ramadhan

Sedar tak sedar..hari demi hari berganti..matahari dan bulan kini bertugas begitu pantas saban hari..umat Islam sudahpun melepasi bulan Rejab dan sekarang dalam bulan Syaaban yakni bulan Nabi Muhammad S.A.W..sepertimana dalam hadis Rasulullah :

"Rejab itu bulan Allah , Syaaban pula bulanku , manakala Ramadhan adalah bulan umatku"


MENGENALI BULAN SYAABAN


Bulan Syaaban adalah bulan kelapan menurut kiraan takwim Hijriyyah yang padanya mempunyai 28 hari. Syaaban bermaksud bercerai-berai. Sebab diberi nama Syaaban adalah kerana pada masa dahulu masyarakat Arab berkeliaran mencari air di sekitar padang pasir untuk mencari sumber air disebabkan kemarau yang berpanjangan.

Bulan Syaaban merupakan di antara bulan yang mulia dan mempunyai beberapa kelebihan dan keistimewaan tertentu padanya. Pada bulan ini juga kita digalakkan untuk memperbanyakkan ibadat sepertimana di bulan Ramadhan, Rejab, Muharam dan lain lain juga. Di samping itu bulan Syaaban boleh menjadi medan latihan bagi menyambut ketibaan bulan Ramadhan.

Masyarakat Arab ada menggambarkan kemuliaan bulan Syaaban ini dengan beberapa huruf dan ertinya yang tersendiri antaranya:

1. Kemuliaan darjat Rasulullah S.A.W. di atas kurniaan bulan Syaaban kepadanya sehingga dinamakan bulan ini adalah bulan Nabi S.A.W.

2. Keperkasaan dan ketinggian.

3. Kebaikkan dan kebajikan yang dilakukan pada bulan ini akan mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah Taala.

4. Kasih sayang dan kemesraan.

5. Cahaya keimanan dan cahaya ibadat yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada hambaNya yang bertaqwa.


ANTARA PERISTIWA DI BULAN SYAABAN


1. Menurut Imam Nawawi, hari Nisfu Syaaban pada 15 haribulan tahun kedua Hijrah telah berlaku pertukaran kiblat umat Islam. Iaitu dari Masjid al-Aqsa ke Kaabah di Masjid al-Haram.

2. Berlaku peperangan Bani Mustalik pada tahun kelima Hijrah. Kemenangan berpihak kepada Islam.

3. Berlaku peperangan Badar yang terakhir pada tahun keempat Hijrah.


ANTARA AMALAN DI BULAN SYAABAN


Meningkatkan amalan Puasa Sunat


Saidatina Aisyah R.A berkata yang bermaksud:
"Aku tidak pernah melihat Rasulullah S.A.W. menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan berpuasa sepertimana pada bulan Syaaban."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Saidatina Aisyah R.A berkata yang bermaksud:
"Nabi Muhammad S.A.W. tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban dan baginda telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Syaaban. Dan adalah baginda bersabda: Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka sesungguhnya Allah tidak membebankan (mewajibkan) kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan. Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W. adalah sembahyang (sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit. Dan adalah baginda apabila mendirikan sembahyang maka baginda sentiasa berterusan di dalam berbuat demikian."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebuah hadis Nabi S.A.W. yang bermaksud:
"Rasulullah S.A.W. telah berpuasa sebahagian besarnya dari bulan Syaaban."
(Riwayat Nasaie).

Memperbanyakkan Berzikir dan Berdoa


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
"Allah mencurahkan kebajikan pada empat malam iaitu malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam Nisfu Syaaban dan malam Arafah."
(Riwayat al-Baihaqi).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
"Doa merupakan otak kepada ibadat."
(Riwayat al-Tirmizi).


Sentiasa Bertaubat dan Beristighfar


Firman Allah Taala bermaksud:
"Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya."
(Surah an-Nur: Ayat 31).



KELEBIHAN MALAM NISFU SYAABAN


Adapun antara kelebihan malam Nisfu Syaaban itu ada disebutkan di dalam beberapa hadis. Di malam Nisfu Syaaban juga adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Allah menjenguk datang kepada semua makhlukNya di malam Nisfu Syaaban maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.
(Riwayat Ibn Majah, al-Tabrani dan Ibn Hibban).

Berkata Imam Shafie di dalam kitabnya al-Umm:
Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: Pada malam Jumaat, malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam pertama di bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.

Berkata Imam Ghazali di dalam kitabnya Ihya Ulum al-Din:
Sesungguhnya sunat muakkad (sunat yang amat digalakkan) menghidupkan hari siang dan malam yang mempunyai kelebihan antaranya malam Nisfu Syaaban.


MENGHIDUPKAN MALAM NISFU SYAABAN


Berkata Syeikh al-Islam Ibn Taimiah di dalam kitabnya Majmuk al-Fatawa:
Apabila seorang manusia itu menunaikan solat pada malam Nisfu Syaaban sama ada secara individu atau berjemaah secara khusus sepertimana yang dilakukan oleh sebilangan masyarakat Islam maka ia adalah baik.

Beliau berkata lagi:
Adapun malam Nisfu Syaaban maka telah diriwayatkan mengenai kemulian / kelebihannya (Nisfu Syaaban) daripada hadis-hadis dan athar. Dinukilkan juga daripada golongan al-Salaf sesungguhnya mereka menunaikan solat padanya (malan Nisfu Syaaban), maka solat seseorang padanya (malam Nisfu Syaaban) secara berseorangan telah dilakukan oleh al-Salaf dan padanya terdapat hujjah maka janganlah ini diingkari. Adapun solat secara jemaah pada ini (malam Nisfu Syaaban) terbina di atas kaedah umum pada berkumpulnya di dalam melakukan ketaatan dan pengibadatan.

PENUTUP

Dengan itu, penulis ingin mengajak diri sendiri khususnya dan kepada pembaca umumnya agar bersama-sama kita memperbanyakkan amalan pada bulan Syaaban ini kerana padanya terdapat banyak kelebihan dan keutamaan yang mesti direbut. Ingatlah, bulan Syaaban ini boleh dijadikan medan latihan yang terakhir bagi menghadapi pesta ibadah yakni bulan Ramadhan Al-Mubarak. Harapan penulis agar amalan-amalan yang dilakukan pada bulan ini tidaklah terkubur begitu sahaja, tetapi seharusnya ia menjadi satu rutin dalam kehidupan. Bahkan bertambah enak jika ditambah baik pada masa akan datang.
Buruk itu datangnya dari diri yang kerdil lagi hina ini , segala yang baik dan molek itu datangnya dari Allah , yang mana hakikatnya segala benda adalah milik Allah 'Azza Wajalla. Wallahu A'lam. :)

1 kesannya:

  1. hadis di atas adalah hadis palsu :
    "rejab bulan Allah, syaban bulanku, ramadhan bulan umatku.."

    http://drmaza.com/home/?p=363

    elakkan menggunakan hadis palsu di dalam post.. kerana kebanyakan hadis mengenai rejab dan syaban adalah palsu..

    ReplyDelete

 

Subscribe to Badar KISAS

Contact us

Email us: badarkisas@gmail.com

Penaung