26 September 2009

Salam Aidilfitri: Satu Muhasabah


Assalamualaikum w.b.
Salam Aidilfitri Maaf Zahir Batin

Sebelum meneruskan apa-apa bicara, penulis ingin mohon maaf atas segala silap dan salah sama ada sengaja ataupun tidak bersempena hari kemenangan umat Islam yang mulia ini. Penulis juga ingin memohon maaf kerana tidak dapat untuk update dengan isu-isu terkini melalui blog ini bagi meluangkan lebih masa untuk persiapan peperangan Al-Kubro selepas ini, SPM 2009, doa-doakanlah kejayaan penulis dan sahabat, insyaAllah.....


Muslimin muslimat rahimakumullah,
Aidilfitri adalah hari kemenangan umat Islam, hari Konvokesyen Madrasah Tarbiyah Ramadan. Hakikatnya, aidilfitri dan Ramadan tidak dapat dipisahkan kerana kedua-duanya memiliki kesinambungan dalam membentuk ketaqwaan yang menjadi matlamat Ramadan. Ramadan sebagai proses dan aidilfitri menunjukkan produk.

Aidilfitri Rasulullah
Mari kita lihat bagaimana produk Ramadan Rasulullah dan para sahabat. Aidilfitri Rasulullah dipenuhi dengan takbir sebagai tanda kesyukuran membesar Allah Taala yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan simbol kehinaan kita sebagai hamba. Firman Allah S.W.T.:
“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.

Rasulullah juga beramah mesra dengan sahabat dengan perkataan-perkataan mulia seperti yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:
“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.


Rasulullah dan para sahabat juga memenuhi program harian dengan amalan-amalan sunat seperti meneruskan qiamullail, mandi sunat pada hari raya, makan sebelum solat sunat Aidilfitri, memakai pakaian yang indah, solat sunat Aidilfitri, ziarah-menziarahi sanak saudara dan sahabat-sahabat, meminta maaf kepada semua orang dan puasa 6 hari Syawal. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.

Beginilah produk Ramadan Rasulullah dan sahabat yang juga diwarisi oleh para ulamak dan pejuang-pejuang Islam zaman kini. Iman dan ketaqwaan mereka semakin meningkat dan bertambah saban tahun. Tapi, bagaimana pula dengan produk Ramadan umat Islam zaman sekarang?

Adilfitri Umat Islam kini
Umat Islam Malaysia diperkenalkan dengan konsep "raya sebulan". Hari raya pertama, kedua, ketiga hinggalah ketiga puluh. Hari-hari Syawal dipenuhi dengan rumah terbuka dan majlis-majlis yang langsung tidak mengingatkan kita kepada Allah bahkan menjauhkan lagi dengan hiburan yang mengaburi rasional iman manusia sehingga lupa kewajipan dan amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah yang telah dilatih pada bulan Ramadan. Kepadatan tentatif Syawal ini bukan sahaja menghalang untuk beramal soleh dan mendekatkan diri kepada Allah dengan Puasa 6 dan bertakbir bahkan digantikan dengan majlis makan yang hanya bermatlamatkan nafsu.
Rancangan-rancangan tv pula mengurung umat Islam daripada amalan kunjung-mengunjung yang dapat mengeratkan hubungan silaturRahim dan mengukuhkan sistem masyarakat Islam. Konsert-konsert dan hiburan-hiburan yang melampau atau di luar sunnah Rasulullah dihidangkan melalui pelbagai media, melalaikan umat Islam dengan dunia, hijab terbesar manusia, dan mengaburkan minda umat Islam dari mengingati Allah, akhirat dan kematian. Maka, sia-sia segala amalan dan usaha di Madrasah Ramadan, tercemar konvokesyen Ramadan dengan maksiat dan kemungkaran umat Islam sendiri akibat kejahilan umat Islam yang sentiasa ditipu oleh dunia dan pengaruh Barat serta kebodohan pemerintah yang hanya berkulitkan riak kebaikannya dan berhati tamakkan dunia serta kezaliman yang sentiasa menysatkan umat Islam dari hakikat sebenar seperti kehidupan Rasulullah S.A.W. dan para sahabat.

Kesimpulannya

Sambutlah hari kemenangan kali ini dengan perbanyakkan tasbih, takbir, istighfar dan tahmid. Semoga ianya menjadi pelengkap kepada hari kemenangan yang diraikan. Teruskan roh Ramadhan dengan melengkapkannya dengan puasa 6 hari di bulan Syawal. Biar Syawal benar-benar menjadi hari kemenangan melaksanakan perintah Allah s.w.t. serta konvokesyen gilang-gemilang bagi graduan Universiti Tarbiyyah Ramadhan. Dengan harapan, "taqwa" yang dicita-citakan menjadi milik kita.

Khairul Azry bin Khir Kamalian
Exco Penerbitan dan Multimedia
Badan Dakwah dan Rohani
Kolej Islam Sultan Alam Shah

1 kesannya:

  1. Assalamualaikum.. ana dr MRSM BESERI,PERLIS.. Mohon dicopy untuk edaran buletin Biro Puteri..

    ReplyDelete

 

Subscribe to Badar KISAS

Contact us

Email us: badarkisas@gmail.com

Penaung