Siapa tidak tahu kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang sedang berlangsung sekarang? Dari kanak-kanak hinggalah ke warga emas, baik lelaki mahupun wanita, tanpa mengira keturunan, pangkat, kaya atau papa, boss atau drebar, baik mereka yang tinggal di singgahsana kekuasaan yang serba mewah mahupun mereka yang tidur hanya beratapkan langit, baik mereka yang tinggal di negara maju mahupun mundur, malah tidak keterlaluan jika dikatakan hampir kesemua penduduk bumi tahu akan kejohanan yang berlangsung empat tahun sekali ini.
Begitulah hebatnya Piala Dunia, ibarat sihir yang memukau seluruh manusia! Apa yang menyedihkan kita ialah terdapat begitu ramai dari kalangan umat Islam yang turut terkena sihir ini. Berapa ramai yang matanya terpaku di depan televisyen dan lidah mereka akan dibasahi dengan ‘zikir’ bola sepak setiap pagi, petang dan malam. Setiap Muslim pencinta bola tidak leka dan lalai dari mengetahui perkembangan perlawanan. Rasanya tidak afdhal jika tidak berbicara tentang bola di dalam setiap pertemuan dengan kawan-kawan.
Piala Dunia yang berlangsung 11 Jun - 11 Julai 2010 ini telah menjadi satu magnet besar yang yang dapat menarik perhatian sebahagian besar penghuni planet bumi. Tidak hanya itu, Piala Dunia ini telah berjaya mengubah ’pola hidup’ manusia di mana secara sedar atau tidak, mereka akan menyesuai atau‘melaraskan’ jadual hidup mereka dengan kejohanan tersebut.
Paling tidak, dalam sebulan ini, ramai penduduk dunia akan mengubah pola menonton televisyen, termasuk mengubah pola tidur, pola perbelanjaan dan pola perbincangan. Malah ramai yang tidak berpuas hati jika hanya menonton di rumah. Mereka sanggup ke kedai atau ke mana-mana tempat yang ada skrin besar dan menontonnya beramai-ramai untuk ‘merasakan’ suasana dan aura perlawanan umpama berada di stadium.
Sihir Bola Sepak
Piala Dunia ibarat sebuah sihir yang nyata. Gara-gara bola, ramai orang boleh lupa akan penderitaan diri sendiri, apatah lagi penderitaan orang lain. Setidak-tidaknya buat sementara waktu segala penderitaan seolah-olah tiada dan tidak pernah ada. Mereka tidak peduli lagi dengan isu-isu yang berlaku di luar bola. Kalau ada pun yang peduli, jumlahnya hanya sedikit sahaja.
Di kalangan umat Islam, sihir bola sepak telah berjaya memukau para pengusaha Arab yang berlumba-lumba membeli kelab bola sepak. Mereka rela menghamburkan wang mereka berbilion-bilion hanya untuk membeli sebuah kelab bola sepak. Syeikh Mansour membeli Manchester City dengan harga RM1 billion. Suliman al-Fahim membeli Portsmouth sebanyak RM353 juta. Dan dilaporkan bahawa Putera Faisal bin Fahd bin Abdullah dari Saudi berniat membeli Liverpool dengan nilai RM1.84 billion. Sungguh ironi keadaan ini, di saat umat Islam menderita di seluruh dunia, para Kapitalis ini sibuk menghamburkan harta kepada suatu yang sia-sia. Masyarakat Arab bertambah gila bola sejak masuknya Arab Saudi ke pusingan akhir Piala Dunia 1998.
Stadium-stadium bola sepak di negara Arab selalu penuh dengan penonton dengan masing-masing mempunyai kelab kesukaan (favourite club) masing-masing. Sungguh mengaibkan kerana terdapat banyak peristiwa di mana pengulas perlawanan bola melaungkan takbir ‘Allahu Akbar’ ketika pemain membuat jaringan, walaupun penjaring gol itu adalah orang kafir!
Kapitalisme Di Sebalik Piala Dunia
Kali ini (2010), giliran Afrika Selatan pula untuk menjadi tuan rumah kepada sukan bola sepak terbesar dunia ini. Sekali fikir, sungguh aneh bagaimana negara semiskin Afrika Selatan boleh terpilih untuk menjadi hos kepada temasya berprestij ini. Dari segi infrastruktur, sebenarnya Afrika Selatan masih belum siap. Negara itu termasuk negara penghutang yang besar, tapi kenapakah negara paling selatan itu berhasil menjadi penyelenggara kejohanan besar empat tahun sekali ini? Untuk menjayakan Piala Dunia yang pertama di benua Afrika ini, Afrika Selatan mesti menyediakan 10 buah stadium sedangkan yang sedia ada hanya lima buah, itupun tidak memenuhi syarat dengan pelbagai kekurangannya.
Mahu tidak mahu, lima buah stadium baru terpaksa dibina dan yang sedia ada diperbaiki. Kos keseluruhannya mencecah berbillion dolar. Soccer City Stadium sahaja melebihi RM1.4 billion. Justeru, bagaimana hal ini boleh dijayakan jika tidak adanya campur tangan dari para Kapitalis? Semua tahu bahawa Afrika Selatan masih berada di bawah bayang-bayang Barat. Walaupun majoriti penduduk negara itu adalah berkulit hitam, namun yang menguasainya adalah kulit putih. Melalui tangan Kapitalis global berkulit putih inilah kesemua rancangan dapat disiapkan sebagaimana dirancang.
Dalam waktu dua tahun, semua stadium berjaya disiapkan. Para pekerja kulit hitam dikerah bekerja siang dan malam sehingga terjadi mogok yang melibatkan lebih kurang 70,000 pekerja kerana tidak berpuas hati dengan jumlah gaji yang diterima berbanding jam kerja yang melampau.
FIFA selaku organisasi bola sepak dunia adalah mastermind kepada semua perkara. Boleh dikatakan semua perkara yang melibatkan piala dunia ini tidak boleh dilakukan kecuali dengan izin FIFA. “FIFA adalah satu-satunya pihak yang yang meraih untung dari Piala Dunia”, keluh Grant Abramhamse, seorang pengusahakeychain yang ingin mengeluarkan rantai kunci khas Piala Dunia namun tidak dibenarkan FIFA untuk menjual produknya kerana dikatakan bertentangan dengan hakcipta.
Sebuah headline media setempat menulis judul besar “Welcome to the Republic of FIFA” (Selamat datang ke Republik FIFA) sebagai bentuk perli yang menggambarkan kekecewaan warga Afrika yang merasakan badan bola sepak dunia itu telah memegang kendali (kuasa) atas segala yang berkaitan dengan Piala Dunia. FIFA mendapat hak memerintahkan pemberhentian segala produk yang berlambangkan Piala Dunia. Di samping mengurus pemasaran, kesemua sembilan buah kota di Afrika di mana berlangsungnya kejohanan, diwajibkan terikat dengan peraturan FIFA yang mengatur segala aktiviti termasuk di luar stadium.
Dilaporkan bahawa badan bola sepak gergasi itu telah mengajukan 451 kes dakwaan pelanggaran pemasaran, mulai dari industri penerbangan hinggalah ke produk gula-gula. FIFA memberi alasan bahawa ini adalah usaha untuk melindungi penaja rasmi yang telah membenamkan modal mereka untuk mendapat hak eksklusif Piala Dunia.
Ketua Eksekutif Piala Dunia 2010, Danny Jordaan menjangkakan bahawa FIFA akan memperolehi keuntungan sebesar USD3.5 bilion dari Piala Dunia kali ini. Keuntungan juga akan dikaut oleh rakan niaga FIFA mulai dari syarikat penerbangan rasmi, hak penyiaran rasmi, hotel rasmi dan lain-lain penaja besar rasmi lagi. Pengeluar alatan sukan Adidas misalnya dijangka mengaut keuntungan USD1.7 bilion, demikian pula dengan Nike, Puma dan Umbro yang dikatakan bakal mengaut nilai yang hampir sama.
Tidak sekadar itu, keuntungan juga bakal dikaut oleh syarikat pengeluar kondom. Ini kerana, pemerintah Afrika Selatan memerlukan sejuta kondom kerana sekitar 40 ribu pelacur dijangka akan ‘hadir’ sama bagi memeriahkan temasya. Ini belum lagi termasuk pengeluar minuman keras yang bakal meraih keuntungan yang mungkin jauh lebih besar. Apatah lagi ‘pengusaha’ judi yang bakal menjadi juara dalam meraih keuntungan yang paling besar, bukan sahaja di Afrika, malah di seluruh dunia. Pasar judi di Britain sahaja mengharapkan dapat meraih lebih 1 bilion pound sterling.
Hatta di Malaysia pun, para Kapitalis judi, dan kerajaan judi Malaysia akan mendapat keuntungan besar dengan ‘usaha baik’ Kementerian Kewangan yang telah menghalalkan judi bola di sepanjang kejohanan Piala Dunia ini. Pendek kata, yang menjadi juara di dalam Piala Dunia sebenarnya adalah para Kapitalis!
Pada suatu hari,seorang anak lelaki sedang jalan-jalan di pekan..Hujung minggu yang biasa buat anak orang kebanyakan sepertinya,untuk membeli tak mampu,cukuplah sekadar mencuci mata sahaja.Tiba-tiba dia melewati sebuah kedai kasut,matanya secepat kilat menyambar kasut idamannya yang sedang dipamerkan."Promosi hebat sementara stok masih ada,sempena pembukaan cawangan baru kedai kami..cepat!cepat!siapa cepat,dia dapat!Tawaran hebat,diskaun sehingga 50%"dia membaca ayat yang tertulis di atas kertas kecil yang melekap di dinding kaca kedai tersebut.
Fikiran anak mentah itu pantas membayangkan dia bergaya dengan kasut impiannya itu.Alangkah indahnya,dia menjadi perhatian rakan-rakan.Kereta yang laju memecut dari belakang membunyikan hon dengan tiba-tiba mengejutkan anak itu dari lamunannya.Serta merta anak itu tersedar dari khayalannya dan mengelakkan diri dari menjadi penyumbang statistik kemalangan yang sedang meningkat sejak akhir-akhir ini.Dia lantas meneruskan perjalanan.Kotak fikirnya ligat bekerja mencari jalan bagaimana untuk memiliki kasut itu,sudah lama dia mengidamkan kasut itu,sekarang ialah masa yang terbaik untuk memilikinya.Namun,dia sedar keadaan keluarga yang mendesak tidak memungkinkannya untuk menyarung kasut semahal itu.Tidak,dengan ayah yang bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel,ibu yang sering sakit-sakit dan 5 orang adik lagi untuk ditanggung makan pakai dan belanja sekolah mereka,tak mungkin.
Mengenangkan kesusahan yang dilalui sejak matanya melihat dunia,memandang ke bawah dan melihat kasut yang dipakai mulai lusuh dan sudah bertahun tidak berganti,benar-benar melukakan hati kecilnya.Dia menggigit bibir menahan sebak.Apa yang dimengertikan oleh anak mentah persisnya?Kadang-kadang hati kecilnya bertanya,"Mengapa kawan-kawan aku boleh bermain dengan gembira sedangkan aku harus membantu ibu dengan kerja rumah?mengapa bapa selalu pulang lewat dan keluar awal pagi dan tak pernah meluangkan masa melayan karenahku?Tidakkah dia menyayangiku sebagaimana bapa orang lain menyayangi anak-anak mereka?mengapa kami tak pernah keluar jalan-jalan macam keluarga lain di hujung minggu?kenapa susah sangat untuk ibu tunaikan permintaanku??mengapa aku lalui semua ni??"dan seperti biasa,monolog itu akan tinggal monolog,tak pernah dia berani menyuarakan persoalan yang sering menyerang cepu fikir kepada sesiapa.
Tapi kali ini,jiwa kecilnya benar-benar tak mampu ditahan,betapa dia mengingini kasut itu,betapa selama ini dia telah penat memendam segala keinginannya,betapa cuma kali ini dia berharap kemahuannya dapat dipenuhi,maka dia menanam tekad,bahawa kasut itu harus dimiliki walau dengan cara apa sekalipun.
Lalu,anak itu berlari pulang dengan harapan yang mengunung bahawa permintaannya bakal ditunaikan.Usai makan malam,dia menunggu kepulangan bapa dari tempat kerja.Waktu berlalu dirasakan terlalu lama,si ibu berkali kali menyuruh anak lelaki sulungnya itu tidur,"Tidurlah sayang,esok nak sekolah.Bapamu itu entah jam berapa pulangnya.Ada apa yang mahu disampaikan?Bagitahu saja pada ibu,nanti ibu khabarkan padanya..."ucap ibu memujuk dengan penuh sayang sambil membelai kepala si anak.."Tak mau!"anak itu membentak,terkejut ibu dek kenyaringan suara anak kesayangannya,. Bimbang dengan kelakuan anak yang agak aneh pada malam itu,lekas-lekas si ibu membelai lagi dengan kata manisnya,"Baiklah sayang,apa saja yang kamu mahu,ibu turutkan.."Anak itu mencebik,dalam hatinya berkata"Betul sangat la tu..kita tengok apa kata bapa malam ni"
Tak berani meluahkannya pada ibu,kasih pada ibu masih mewaraskannya dari mengguriskan perasaan ibu dengan kata-kata setajam itu.
Akhirnya penantian berakhir apabila jam menunjukkan tepat pukul 1 pagi,si bapa pulang dalam keadaan penuh keletihan.Bau gris menusuk ke hidung anak saat dia memeluk belakang bapa sambil menjerit"Bapa!"dengan penuh kegirangan membayangkan mimpinya bakal menjadi kenyataan.Si bapa cepat-cepat meleraikan pelukan anak,"Bapa penat,nak..nanti bapa mandi dulu ya.."sambil berlalu pergi meninggalkan anak terpinga-pinga sendirian.Anak lelaki yang tidak puas hati itu tidak mampu lagi memendam keinginannya lantas menjeritkan"Saya nak kasut baru!"langkah lemah si bapa terhenti mendengar jeritan jujur dari anak lelakinya itu.Dia menoleh dan memandang ke dalam anak mata wiranya itu.
"Saya..saya..nak kasut baru,kasut lama dah buruk,semua orang ketawakan saya kat sekolah,saya tak tahan lagi,saya bukan minta mainan,saya nak kasut baru untuk pergi sekolah,itu je..."tergagap-gagap anak itu meneruskan bicara sambil menundukkan kepala,tak mampu menentang panahan mata si bapa.Ibu yang batuk-batuk di penjuru tamu cuma mampu memerhati dari jauh sambil menahan sebak di dada,mengenangkan betapa anak itu mengidamkan sepasang kasut baru untuk ke sekolah.Bapa menghampiri anaknya dengan tenang,lama dia mendiamkan diri sebelum bersuara,"Bapa tak mampu,nak..."dia menahan getar,si anak mula memasamkan muka,tunduk melihat lantai papan yang usang,"Tapi,kalau anak bertegas mahukan kasut itu,bapa boleh berikan,dengan syarat..."anak itu mengangkat wajah sugulnya,matanya mula bercahaya.
"Katakan saja,bapa..saya sanggup.."Si bapa tersenyum,"Anak harus bantu bapa di bengkel selama 2 minggu,upahnya nanti anak ambillah untuk beli kasut tu" "Baik,bapa!saya sanggup!saya tidur dulu,esok saya mula ya!terus anak itu menyatakan persetujuannya sambil berlalu untuk melelapkan mata dengan penuh harapan bahawa impiannya tak lama lagi bakal direalisasikan.Hari demi hari berlalu,minggu berganti minggu,akhirnya tibalah masa untuk anak mengambil upahnya membantu bapa di bengkel.
Walaupun keletihan kerana setiap petang selepas pulang dari sekolah dia harus bergegas utk membantu bapa di bengkel,dia tidak peduli demi kasut idamannya itu.Setiap hari dia melalui kedai kasut itu sambil berdoa agar kasut itu tidak dibeli oleh insan lain.Mujurlah doanya dimakbulkan Tuhan.
Akhirnya,hari itu tiba juga,sebelum ke kedai kasut,dia singgah di bengkel bapa bekerja untuk mengambil upah yang dijanjikan."Ini ganjaran buat mu,nak,atas kesungguhanmu,gunakanlah ia untuk puaskan hatimu itu,anakku.."si bapa menghulurkan upah pada si anak.Sebelum berlalu,anak lelaki itu sempat menoleh untuk melihat bapanya,serentak dengan itu,dia terpandang kasut yang disarung bapa.Kasut yang sepatutnya melindungi kaki bapa yang bekerja siang malam,yang berjalan setiap hari ke tempat kerja,yang menempuh terik jalan tar yang membakar,kini terlalu lusuh,bertampal dan berjahit di sana sini.Dia cuba menghitung,bila kali terakhir bapanya menukar kasut baru,dan sepanjang ingatannya,sejak dia mengenali alam persekolahan,dia tak pernah melihat kasut itu bertukar!Kasut persis itu pernah dilihatnya sebelum ini,digigit anjing di tepi jalan!Hati kecilnya digigit sendu.
Dia menuju ke kedai kasut di pekan,dan dia keluar dengan kotak yang berisi kasut.Senyumnya lebar,senyuman kepuasan.Anak itu melangkahkan kaki ke bengkel tempat bapa bekerja dan menghulurkan kotak itu kepada si bapa.Si bapa lantas membuka kotak kasut tanpa curiga.Alangkah terkejutnya hati seorang bapa melihat kasut yang ada di dalam kotak bukan kasut seorang remaja tetapi kasut untuk seorang dewasa sepertinya.”Saya tak jadi lah bapa nak beli kasut tu.Kasut ni boleh pakai lagi.Saya jumpa kasut ni kat pekan tadi,nampak sesuai untuk bapa”Si anak senyum.Mengertilah bapa niat suci anaknya,lantas dipeluk erat anak kecil itu ke dalam dakapannya.Tubir mata bapa gagal menahan empangan air mata dari pecah membanjiri pipi perkasa seorang ketua keluarga.
http://kembaramencaridiri.blogspot.com/