Thursday, 30 December 2010

Piala AFF Suzuki: Giliran Malaysia



Assalamualaikum wb.
Salam Kejuaraan.

Semasa agak leka penulis menonton detik-detik kemenangan Malaysia malam semalam, teringat penulis kepada satu Firman Allah SWT yang mampu menjadi pengajaran dan 'ibrah untuk kita semua. Firman Allah SWT,

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendaapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
(Surah Ali-Imran, 140)

Inilah motivasi dari Allah SWT kepada seluruh umat Islam, bukan sahaja khusus kepada Rasulullah dan para sahabat yang mengalami pengalaman perit semasa Perang Uhud, tetapi mampu memberi motivasi kepada umat Islam kini untuk terus berusaha mencapai kemenangan. Malam semalam merupakan giliran Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki, atas usaha K. Rajagopal dan anak buahnya dalam misi menjulang kembali Malaysia dalam dunia bola sepak.

Tahniah kepada pasukan Harimau Malaya..! Penulis sebagai rakyat Malaysia tumpang bangga dan syukur. Semoga pada masa akan datang Allah SWT akan gilirkan kepada kita kemenangan dari aspek yang lain pula seperti akademik, ekonomi, sosial (sahsiah) mahupun politik, dengan syarat para pejuangnya berusaha dan terus istiqamah..

Wallahua'lam..

Khairul Azry Bin Khir Kamalian
Presiden
Badan Dakwah dan Rohani 2010/2011
Kolej Islam Sultan Alam Shah

Monday, 27 December 2010

....berubah bukan HIPOKRIT...

"Eleh, kau pakai tudung pun bukannya ikhlas. Hipokrit!"

"Bajet baik la konon nak nasihat aku! Munafik la weyh!"

"Eh, sejak bila jadi pak lebai ni? Dah pandai cakap halal haram ni? Munafik betul!"

Sakit telinga mendengar. Sakit lagi dalam hati. Kerana itu, ramai yang tersungkur. Hasrat mahu berubah, terkubur hanya kerana 'suara keldai' ini. Inilah cabaran orang yang mahu berubah. Pasti dia akan terdengar cakap-cakap buruk dari manusia sebangsa dan seagama dengan mereka ini.

Persoalan saya, adakah orang yang mahu berubah itu orang hipokrit?

Tidak! Sama sekali bukan munafik orang yang mahu berubah. Sebaliknya, tindakan untuk berubah itu tindakan orang bijak dan berani. Maka,
izinkan saya menyatakan penghargaan saya kepada anda yang sedang berusaha untuk berubah. Anda seorang wira! Anda seorang pejuang! Dan anda seorang yang cantik di mata Tuhan.

Janganlah berhenti. Dalam banyak tempat dalam Al-Quran, Allah menyatakan bahawa manusia akan diuji. Diuji, dan terus diuji hingga diyakini, siapa yang dalam kalangan kita yang benar-benar 'bulat' hatinya untuk mencari wajah-Nya.

Ujian ini Allah timpakan kepada kita seperti tangga. Selepas kita memanjat satu tangga, kita akan memanjat satu lagi. Kemudian, satu
lagi, dan satu lagi. Hinggalah kita mencapai puncak iaitu wajah redha-Nya. Antara ujian yang paling berat ialah penerimaaan masyarakat, ahli keluarga dan kawan-kawan kita.

Bagi yang lemah, pasti mereka akan berhenti memanjat hanya kerana label munafik atau hipokrit yang diberikan orang. Tuduhan yang
tersangat salah! Saya tertarik dengan satu hadis:

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya: "Bacalah al-Quran dan menangislah, dan jika tidak boleh menangis buat-buatlah menangis" - Hadis riwayat At-Tabrani.

Saya paling tertarik dengan perkataan 'buat-buatlah menagis'. Bukankah pada zahirnya, 'buat-buat' tu bererti berlakon? Adakah kita mahu
menipu Allah?

Tidak. Sama sekali tidak. Sesungguhnya Allah itu Maha Tahu dan Paling Faham akan manusia. Dia tahu, bahawa untuk manusia menjadi hamba yang baik, dia tidak akan dapat terus jadi baik. Dia harus melalui proses yang panjang. Sedikit demi sedikit, perubahan akan berlaku.

Allah tahu segalanya. Dia tahu bahawa kita ada limit atau batasan. Kita tidak akan mampu terus berubah dengan mendadak. Kita hanya akan mampu berubah, sedikit demi sedikit. Kerana itu, Allah tak memberatkan kita dengan 'mesti menangis', sebaliknya Allah sediakan kita
keringanan, jika kita tak mampu, buat-buatlah menangis.

Dengan erti kata lain, jika kita tidak mampu jadi manusia yang terbaik, maka kita latihlah diri menjadi manusia yang baik! Lama-kelamaan, pasti kita akan dapat jadi yang terbaik. Bukankah mentol yang ada pada hari ini adalah hasil daripada ratusan kegagalan Thomas Edison? Saya pasti, kalau Thomas Edison berjiwa kecil, pasti dia akan putus asa apabila dicaci.

Untuk mencapai kesempurnaan iman, jangan takut mencuba menerima cacian.

Kesimpulan

Jangan peduli cakap orang. Bukankah kita mahu berubah kerana Allah? Allah pasti akan suka, jika kita mahu berubah. Cuma syaitan saja yang tak suka. Jadi, rasanya tidak melampau jika saya kata manusia yang menghalang orang buat baik, dia tu macam syaitan. Ada bantahan?

Selepas ini, jika ada lagi orang kata 'kau munafik', maka balaslah, "So what?"

Monday, 13 December 2010

Maal Hijrah: Sebuah Nostalgia Penuh Ibrah


Assalamualaikum w.b.
Salam Maal Hijrah 1432.

Begitu lama penulis meninggalkan blog ini dan agak lama penulis meninggalkan dunia penulisan. Ini disebabkan oleh beberapa masalah peribadi penulis. Agak kekok untuk kembali mengarang, tetapi inilah hakikat pejuangan seorang daie yang tidak sepatutnya ditinggalkan. Moga-moga kita sama-sama dapat istiqamah, insyaAllah..

Rasanya masih belum terlambat untuk penulis mengucapkan Salam Maal Hijrah 1432 kepada seluruh muslimin dan muslimat. Bersempena Maal Hijrah ini, ingin penulis tegaskan bahawa peristiwa hijrah bukan sejarah yang menjadi bahan bacaan umum semata-mata, tetapi perlu diambil iktibar oleh semua lapisan masyarakat kerana Hijrah merupakan peristiwa terbesar dalam riwayat hidup Rasulullah SAW dan terdapat pelbagai ibrah yang perlu diteladani. Untuk post kali ini penulis bukan ingin menyentuh berkenaan Tokoh Maal Hijrah pada tahun ini, tetapi penulis ingin berkongsi sebuah kisah yang penulis terlepas pandang rasanya kerana penulis rasa kisah ini seperti tidak pernah didengari sebelum ini. Pertama kali penulis dengar adalah dari al-Fadhil Ustaz Zulkifli bin Haji Ismail semasa di Baitul Qurra'. Kali kedua daripada Ustaz Idris semasa penulis bertandang ke kediamannya di Bangi. Kali yang ketiga penulis mendengarnya semasa kuliah Maghrib setelah penulis selamat sampai ke Langkawi. Ketiga-tiga peristiwa berlaku hanya dalam masa sebulan yang lalu.

Kisahnya berkenaan beberapa orang muslim yang beriman kepada Allah dan rasulnya. Mereka ini adalah orang Mekah dan mereka beriman semasa Rasulullah SAW di Mekah lagi. Maksudnya mereka ini pun bukan calang-calang orang kerana sanggup dan berani memeluk Islam sedangkan Islam di Mekah ketika itu masih lemah dan orangnya sedikit. Walau bagaimanapun, iman mereka masih lemah menyebabkan mereka takut untuk berhijrah bersama Rasulullah SAW ke Madinah. Semasa tekanan kian meningkat dan menekan umat Islam di Mekah, Allah memerintahkan supaya umat Islam berhijrah ke Madinah. Tetapi golongan ini enggan kerana lebih takut kepada ancaman Musyrikin Quraisy. Mereka merahsiakan keIslaman mereka dan terus menetap di Mekah.

Semasa tercetusnya perang Badar, golongan ini terpaksa mengikuti pasukan musyrikin Quraisy dalam memerangi pasukan Islam iaitu pasukan yang dianggotai Rasulullah SAW sendiri. Golongan ini telah memerangi Rasulullah secara terang-terangan sedangkan mereka ini Islam. Mereka mendakwa bahawa mereka terpaksa merahsiakan keIslaman mereka dan terpaksa menuruti musrikin Quraisy memerangi pasukan jihad muslimin. Ketika peperangan Badar selesai, ramai dalam kalangan mereka yang terbunuh. Berkatalah kaum muslimin, "Mereka itu adalah orang-orang Islam, tapi dipaksa ikut berperang, haruslah mintakan ampun bagi mereka". Maka turunlah jawapan Allah yang berbunyi,


"Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."
(Surah an-Nisa', 97)

Menurut riwayat Ibnu Mundzir dan Ibnu Jarir, mereka kemudian menulis surat kepada kaum muslimin yang masih ada di Mekah dengan ayat tadi dan tidak ada alasan lagi untuk tidak hijrah. Kemudian mereka hijrah ke Madinah tetapi masih dikejar dan dianiaya oleh kaum musyrikin, akhirnya mereka terpaksa pulang kembali ke Mekah. Maka turunlah ayat 10, surah Al-Ankabut,


"Dan ada sebahagian dari manusia yang berkata: “Kami beriman kepada Allah”; kemudian apabila ia diganggu dan disakiti pada jalan Allah, ia jadikan gangguan manusia itu seperti azab seksa Allah (lalu ia taatkan manusia). Dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu memberi kemenangan kepadamu, mereka sudah tentu akan berkata: “Kami adalah sentiasa bersama-sama kamu”. (Mengapa mereka berdusta?) Bukankah Allah lebih mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati sekalian makhluk?"
(Surah al-Ankabut, 10)

Ayat ini berkenaan berkenaan peristiwa di atas sebagai teguran Allah SWT terhadap keluhan mereka yang menganggap seksaan yang dialaminya sebagai azab dari Allah SWT.

Inilah peristiwa yang sepatutnya kita renungkan kerana dalam masyarakat kita dewasa ini, ramai yang beralasan terpaksa melakukan maksiat kerana masyarakat sekeliling yang hidup dengan maksiat, terpaksa meninggalkan solat kerana masa kerja yang menghalang, terpaksa bergaul bebas kerana orang sekeliling akan menganggap kita jumud dan ketinggalan zaman jika menutup aurat dan menjaga maruah melalui adab pergaulan. Inilah alasan-alasan yang tidak sepatutnya wujud dan menjadi penghalang untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT kerana dunia ini luas untuk kita mencari peluang. Peluang untuk menjadi baik perlu dicari bukan dinanti..


Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
(Surah ar-Ra'du, 11)

Sempena Maal Hijrah 1432 ini, jangan kita hanya sambut dengan nyanyian Islamik dan anugerah tokoh Maal Hijrah semata-mata, tetapi kaji dan renunglah sejarah yang penuh dengan hikmah ini. Perjalanan hidup Rasulullah SAW (Sunnah) ini bukanlah satu "nostalgia" sejarah semata-mata, tetapi sebuah ibrah yang menjadi ikon teladan sepanjang zaman.

Wallahua'lam..

Khairul Azry Bin Khir Kamalian
Presiden
Badan Dakwah dan Rohani 2010/2011
Kolej Islam Sultan Alam Shah

 

Subscribe to Badar KISAS

Contact us

Email us: badarkisas@gmail.com

Penaung